Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 15 October 2012

Split Second

Salam,
Penceritaan kali ini mungkin lebih menjurus kepada monolog dalaman yang ingin dikongsikan bersama. Betapa aku buntu dengan keadaan yang berlaku. Terlampau pantas segalanya berubah. Hari ini bergelak ketawa gembira, esok sudah dilimpahi tangisan air mata. Kadang-kadang belum sampai esok, petang hari yang sama sudah berubah wajah. Betapa mudahnya hati dan perasaan ini dibolak-balikkan.
Keadaan sebegini rupa membuatkan aku hilang punca. Tidak tahu bagaimana harus aku berikan reaksi, bagaimana harus aku lontarkan respon. Bimbang silap langkah akan ada yang terguris hati, menggores perasaan. Perlu sangat berhati-hati. Kerana perkara sebegini rupa bukan sahaja melibatkan satu pihak, tetapi ramai.

Aku cuba letakkan diri aku dalam diri si dia. Ahhh, tak mampu. Tak akan aku mampu menghadapi perubahan yang terlampau pantas ini. Menerima orang baru bukan perkara mudah. Tambahan pula hati yang luka masih belum sembuh atas kehilangan orang yang disayangi. Tapi menghalang ini berlaku mungkin juga bukan satu langkah yang baik kerana ini kehendak si dia. Mungkin juga ini langkah yang baik bagi adik-adik yang masih kecil dan perlukan bimbingan dan kasih sayang seseorang. Tapi bagi diriku sendiri, aku tidak mampu menerima perubahan sepantas ini. Aku mungkin bukan pihak yang terlibat secara langsung dalam hal ini, namun sebagai orang asing pun aku sudah merasai diriku akan gagal menangani perubahan ini. Tetapi melihat dirimu yang sangat tabah menghadapi satu demi satu dugaan buatkan aku hormati dan sanjungi insan pilihan Allah ini. Bukan mudah menghadapi situasi begini dan tidak semua orang mampu melaksanakan tugas ini sebagai hambaNya yang hanya menerima takdir ketentuan Allah.

Pesan aku buatmu:
Tabahlah dalam semua ini. Kerana setiap saat anda berserah pada Allah itu adalah ganjaran buatmu.
Yakinlah bahawa ini ketetapan Allah. Ketetapan yang kita tak mampu nak tafsirkan pengakhirannya. Namun mengajar hati untuk bersangka baik pada Allah adalah langkah terbaik buat waktu ini. Berharap moga ketentuan ini adalah yang terbaik untuk kita dan juga keseluruhan keluarga.
Hanif doakan semoga Allah sentiasa kurniakan kekuatan buatmu.
Hadapilah semua ini dengan penuh tabah
Ganjaran Allah itu pasti.
=)

Monday, 24 September 2012

Semerah Cinta Canberra

Salam,
Hari bergerak semakin pantas. Hari ini aku berada di penghujung bulan September menandakan tinggal beberapa minggu sebelum peperiksaan menjengah kembali.Namun, aku tidak mempersiakan cuti musim bunga selama dua minggu yang diberikan. Kali ini Canberra menjadi destinasi tujuan. Walaupun sambutan penyertaan rombongan yang kurang menggalakkan, namun aku masih menguatkan diri untuk menjadi salah seorang peserta rombongan untuk ke sana.Mungkin faktor destinasi yang kurang menarik membuatkan ramai yang berpaling tadah pada Canberra. Benar, aku akui. Tiada apa yang menarik perhatian bagi seorang insan berdarah muda yang mahukan keceriaan berganda dan keseronokan abadi seperti di Gold Coast dan Melbourne. Namun bagi seorang hamba yang inginkan ketenangan, menghayati alam kurniaan Allah yang tak pernah manghampakan, pastinya Canberra akan menjadi salah satu destinasi tujuan. Perancangan telah dibuat hampir seminggu sebelum cuti menjelma tiba. Aku mencadangkan Floriade 2012 menjadi salah satu agenda utama dalam pelan perancangan dek kerana acara ini adalah bersifat tahunan. Pesta bunga yang memaparkan lautan bunga-bunga indah ini sememangnya mempesonakan sesiapa saja yang mengunjunginya, tambahan jika seseorang itu bergelar pencinta alam.

Kata orang, "Bermusafirlah, kerana dengan bermusafir itu mata kita lebih luas memerhati, fikiran lebih kuat terjana, minda lebih rasional dan pengetahuan lebih luas." Dan sedarlah kita bahawa semua itu adalah ilham Ilahi. Ini matlamat dan tujuan aku kali ini. Selain ingin merehatkan minda dan menjamu rohani yang dahagakan keindahan alam semulajadi. Seperti biasa, aku bertugas selaku pemandu utama. Aku yang menawarkan diri untuk jawatan ini. Mungkin kerana aku amat gemar memandu. Tambah pula jika perjalanan itu mengambil suatu masa yang lama. Kata pembantu aku, perjalanan ini akan mengambil masa hampir 5jam lebih. Tidak mengapa, aku mampu bertahan. Apa guna bergelar pemuda, jika keringat yang ada tidak dikerahkan.

Alhamdulillah, kami tiba dengan selamat. Mujur Allah jalinkan ukhwah antara pelajar di Canberra dengan kami sebelum ini, dapatlah kami menumpang sementara merehatkan badan.Terima kasih daun keladi atas segala jasa baik anda semua.

Hari pertama kami mulakan dengan lawatan ke Australia National University (ANU).Kali pertama melihat kawasan universiti ini buatkan hatiku tertarik dengan keadaan suasana tenang yang dijelmakan melalui susun atur bangunan dan kebersihan kawasan. Hatiku terdetik lagi,"pasti semua ini terhasil atas didikan yang mantap".Kesedaran tentang menjaga kebersihan yang sejak kecil lagi dipupuk membuatkan ianya menjadi darah daging dan lumrah hidup masyarakat di sini. Perkataan "alangkah" dan"kalaulah" mula berpusing ligat di tengah otakku. Membayangkan keadaan negaraku,sekiranya keadaan seperti ini berlaku.Pasti aku adalah antara orang yang gembira dengan bangsaku. Walau bagaimana sekalipun, aku masih, tetap dan akan sentiasa berbangga dengan bangsaku dan tanah airku bumi tercinta.Dari segi infrastruktur dan prasarana pula, tak banyak yang ingin aku bandingkan dengan universiti tempat aku menggali ilmu. Lebih kurang sama sahaja. Malah aku bersyukur ditempatkan di situ. Kerana aku yakin, itulah yang terbaik bagiku.


 






Setelah selesai melawat kawasan, kami beralih arah dan tujuan ke Floriade 2012. Aku agak tidak sabar menantikan masa ini.Mungkin kerana tidak sabar untuk mengambil puluhan gambar untuk dikongsikan bersama kawan-kawan aku dan mungkin juga kerana tidak sabar untuk menjamu rohani yang sudah dahagakan keindahan alam ini.Kami disambut mesra dengan ribuan pengunjung yang rata-rata merupakan pelancong asing yang datang dari seluruh pelosok dunia. Suasana kelam kabut dengan ramai pengunjung itu membuatkan hatiku sekali lagi terdetik dibantu dengan ingatan memoriku yang lampau. Suhu ketika itu hampir 20 darjah dan memang panas bagi orang-orang Australia yang sudah biasa dengan suhu dibawah 10 darjah. Maka memori aku mengimbau kembali pada kedua-dua kali aku menjadi tetamu Allah di dua tanah haram. Ya Allah, bilakah akan aku jadi tetamu-Mu lagi? Sayu hatiku bila teringat kembali saat-saat aku disana. Biar panas mana sekalipun cuaca di sana, aku tetap rasa tenang. Tak pernah ada terdetik rasa kelam kabut dan serabut di sana. Ahhh, sukar aku nak gambarkan.Tiada kata dapat aku gunakan untuk jelmakan suasana itu. Tapi aku rindukan suasana tersebut. Rasa dekat dengan Pencipta dan Pembawa kebenaran. Rupanya, bukan aku sahaja yang merasakan seperti itu. Aku disapa oleh rakanku Amin, yang turut menyatakan perasaan yang sama.Mungkin bagi kami yang pernah merasai suasana di tanah haram itu mudah bagi kami untuk terdetik perkara sedemikian.Perasaan aku bertambah-tambah tatkala aku teringat akan 'kekasih' hati aku yang sedang dalam perjalanan ke tanah suci bersama suaminya.Puan Musliza, 'kekasih' hidup dan matiku. Untungnya beliau dapat menjadi tetamu Allah dua kali dalam tahun yang sama. Lengkap sudah rukun Islam beliau.Aku doakan haji beliau dan suaminya diterima sebagai haji yang mabrur.Aku biarkan perasaan itu berlalu. Namun aku harapkan ianya bakal menguatkan semangat aku untuk menjadi tetamu Allah selepas ini.

Melihat hamparan bunga yang bertaburan indah buatkan aku rasa tenang dan lapang. Bunga yang ceria berwarna-warni mengajar aku betapa hidup ini penuh dengan kepelbagaian. Terpulanglah kepada kita selaku manusia untuk memilih arah dan tuju masing-masing. Jangan pernah menyalahkan orang lain,kerana kita sentiasa diberi pilihan dalam hidup.Cuma mungkin kerana pilihan yang dibuat itu sesuatu yang salah, seterusnya menjerumuskan diri kita ke arah yang durjana. Walaupun pilihan itu terpulang kepada kita, tapi kita masih lagi diberi bantuan oleh Yang Maha Esa. Istikharah dan doa sentiasa menjadi alat bantuan utama yang tak pernah mengecewakan kita. Pabila hati sudah yakin bahawa hidup ini berada dibawah ketentuan Allah, berdoalah atas segala apa keputusanmu. Moga dengan doa yang engkau panjatkan itu akan membuatkan pilihanmu menjadi lebih diberkati dan sentiasa mendapat bantuan Allah.

Perjalanan kami hampir tiba di pengakhiran. Tapi sebelum itu kami singgah sebentar ke salah sebuah muzium perang. Bagi menyemarakkan rasa patriotisme dalam jiwa kami, destinasi ini dipilih untuk menjadi antara aktiviti dalam pelan utama. Apa yang menarik perhatianku adalah apabila sejarah tentang negaraku ditawan turut dimuatkan di dalam muzium ini. Ada juga diceritakan bagaimana mudahnya Jepun menawan Tanah Melayu ketika itu. Rasa sedih juga tatkala merenung kembali sejarah yang berlaku. Tapi aku yakin tiada seorang pun yang inginkan segala kisah silam itu berulang kembali. Sama-samalah kita menjaga dan menyayangi negara kita. Jangan biarkan persengketaan menjadi tatapan harian kita. Kerana persengketaan itulah menjadi putik kepada tumbuhnya sebuah perpecahan.Walaupun hati aku bukan seorang sejarawan, namun aku masih lagi berasa tertarik untuk membaca dan meneliti semua sejarah yang dipaparkan. Mungkin cara dan teknik paparan yang digunakan di muzium tersebut membuatkan sesuatu fakta itu menarik untuk diperhatikan.Tidak lama kami di sini kerana tidak banyak untuk kami tatapkan. Cuma melatih diri untuk sentiasa peka dengan sejarah lampau,agar diri ini tidak mengulangi kesilapan lalu. 

Kami pun bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan pulang. Walau singkat masa yang kami luangkan, tapi kepuasan itu jelas terasa. Bermanfaat dan menyeronokkan.Itu dua perkataan yang dapat digunakan untuk menggambarkan pengembaraan kami kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat saudara Amin atas kesudian menjadi peneraju utama kepada perancangan pengembaraan kali ini. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat sepanjang perjalanan kami.Selamat tinggal Canberra. Semoga bertemu lagi di lain waktu.
Salam musim bunga dari saya: Hauzan Muttaqin.2012.
 

Tuesday, 18 September 2012

Boleh sebenarnya

Salam,
Kadang-kadang, diam tak bermaksud bodoh atau jahil tentang sesuatu perkara.Malah kadang-kadang yang diam itu jauh lebih pandai daripada yang sibuk mencanang sesuatu. Tapi mata manusia lebih tajam memerhati pada apa yang ditunjukkan.Apa yang kita persembahkan akan menjadi penilaian orang ramai.
Ilmu tanpa amal, bagai pohon yang tidak berbuah.Allah lebih Maha Mengetahui daripada manusia yang hanya berpandukan sepasang mata untuk menilai manusia. Tapi kita selaku hambaNya masih lagi perlu melakukan ibadah semata-mata untuk menunjukkan dan membuktikan betapa sayang kita pada Allah. tapi bukankah Allah itu Maha Melihat, Mendengar dan Maha segala-galanya.? Namun begitu, kita masih lagi perlu tunjukkan komitmen dan usaha kita. Tambah lagi kalau pada manusia, sudah semestinya kita kena tunjukkan segala yang kita maksudkan. Sampaikanlah apa di dalam hati, kerana penilaian manusia adalah pada apa yang dilihat dan didengari.

Perubahan pasti berlaku

Salam,
Perubahan sentiasa, pasti dan akan terus berlaku. Bukan hanya pada insan biasa seperti aku, malah berlaku pada segenap perkara. Ramai yang dambakan perubahan. Keadaan hidup yang tidak sempurna buatkan manusia inginkan perubahan hidup. Daripada buruk kepada baik. Kalau sudah baik, manusia dambakan yang lebih baik. Perubahan sesuatu yang pasti. 

Tapi, bagaimana dengan penerimaan kita? Lihat pada jenis perubahan yang terjadi. Rakyat impikan perubahan kerajaan dek kerana kerajaan sedia ada yang penuh dengan ketirisan. Ibu bapa, inginkan perubahan pada hidup dan diri sendiri agar keluarga lebih bahagia memandangkan keadaan ekonomi dan sosial sekarang yang menekan. Malah diri sendiri, mengharapkan perubahan pada diri yang mampu menjamin masa depan kelak. 

Namun, tak mudah menerima sesuatu perubahan ini. Tambah lagi apabila sesuatu perkara yang nak diubah itu telah lama menjadi kebiasaan. Menjadi darah daging dan sesuatu yang wajib dilakukan. Masa itu, perubahan ini akan dianggap kejam dan menghancurkan keamanan sedia ada yang pernah dinikmati. Sudah lama bergelumang dalam keadaan begitu, tapi pabila perubahan baru dibawa, sukar diterima. Kenapa? Ianya sudah sebati dalam hati dan sanubari. Sudah menjadi kemestiaan hidup. 

Lalu bagaimana? Pinggirkan perubahan dan kekal di takuk lama? Ahh... tidak. Itu bukan solusi terbaik. Menerima bukan mudah, melepaskan lebih sengsara. Mungkin perubahan yang ingin dibawa ini sesuatu yang baik bagiku. Entah dari ideologi atau falsafah mana yang dia dapat, tapi yang pasti, dia inginkan perubahan. Dan aku merelakannya.Menuruti kata-kata dan arus perubahan yang ingin dibawa. Tanpa banyak soal dan kerenah, aku menerima. Namun aku dahagakan penjelasan. Penjelasan kepada semua ini. Mungkin belum masanya untuk aku suarakan.Lalu aku memutuskan untuk membiarkan saja perubahan itu masuk meresap diantara kita. Mengharapkan pengakhiran yang baik daripada perubahan ini. Moga-moga kau ada penjelasan munasabah kepada tindakanmu ini. Agar aku tidak keliru dan tersalah tafsir.Perubahan pasti berlaku. 

Thursday, 30 August 2012

Ikut Hati Mati

Salam,
Hati ini tak pernah lepas dari diuji. Bergelar seorang manusia menambahkan lagi ujian yang dihadapi.
Entah mengapa, suka benar kita kepada menjatuhkan orang lain.Tidak senang melihat orang lain bahagia.
Seperti itu kerja buat kita setiap masa. Menanamkan rasa cemburu dan dendam pada yang memiliki kelebihan. Kadang-kadang ada yang sanggup menjatuhkan orang lain semata-mata tidak senang dengan kelebihan yang dimiliki. Meranalah pada orang-orang yang memiliki sesuatu kelebihan. Kerana akan ada orang yang menyimpan dendam. Tapi pelik keadaan dunia ini. Dunia yang dikongsi bersama sepatutnya lebih indah jika saling berkongsi dengan apa yang ada.Mengapa perlu dicemburukan pada kelebihan orang lain. Sedangkan Allah juga kurniakan kelebihan kepada kita yang mungkin tiada pada orang lain. Secara kasarnya kita sama. Cuma yang berbeza apa dan bagaimana kita gunakan kelebihan yang diberi. Hentikanlah sikap burukmu itu. Kerana kelak ianya akan memakan dirimu jua. Hitamnya hatimu itu bakal mencerminkan keburukan dan kekurangan dirimu. Berbanggalah dengan berkongsi kelebihan yang ada. Sokonglah sahabat disekeliling kita. Jadilah manusia bermanfaat yang tiada pernah menyimpan rasa iri hati pada yang lain.
Berlapang dadalah...

#lukisanhati
#ilhampersekitaran

Sunday, 26 August 2012

Penghargaan

Salam,
Sudah lumrah manusia, merindui yang jauh dan mengingati yang tiada di depan mata. Kadang-kadang sehingga terbawa-bawa dalam tidur yang tidak lena. Duduk tidak senang, gundah gulana dan risau yang teramat jika sehari tidak bertegur sapa. Syukur pada komunikasi kerana telah mengurniakan satu kemudahan kepada insan seluruh alam. Walau jauh di mata, beribu batu, masih lagi mampu bersua muka, berhubungan dan bertegur sapa. Tapi, apakah yang membuatkan seseorang itu menghubungi yang lain? Pasti orang yang dihubungi itu merupakan seseorang yang Maha penting. Sehinggakan, jarak tidak mampu memisahkan, masa tak dilihat sebagai dugaan, wang ringgit langsung tidak dihiraukan. Apa pula balasan daripada yang dihubungi? Tiada dan tidak perlu. Kerana yang menghubungi hanya mahukan sekalung apresiasi atas segala pengorbanan dia yang menghubungi.

Anda mahu jika saya bawakan satu keadaan untuk kita fikirkan bersama? Mungkin buat santapan hati yang murni, atau boleh menjadi benteng yang hakiki. Cerita dua insan berkasih sayang walaupun terpisah jauh beribu batu. Berada di benua yang lain tidak dilihat sebagai halangan. Atas nama cinta katakan. Yang lelaki memang menjadi yang menghubungi. Manakala yang wanita sebagai yang dihubungi.Hampir setiap hari bermesra dan bertemankan komunikasi.  Begitu sekali jasa murni yang menghubungi. Besar juga jika dilihat pengorbanannya. Tapi, apa boleh kita buat. Jika tidurnya memang tidak lena tatkala belum mendengar suara si dia, harinya tidak lengkap jika belum bertanya khabar si dia, apa lagi yang mampu kita buat. Biarkan dia lakukan segalanya. Kerana itu sahaja ubat pada segala kesakitan hati dia.

Apa perasaan anda jika pengorbanan yang anda lakukan semata-mata mahu mendekatkan diri walaupun jauh secara literalnya dilihat enteng sahaja. Tidak diberi penghargaan sewajarnya. Mesti hancur hati dia. Melihatkan apa yang dilakukan tidak pula di pandang sebagai sesuatu yang perlu. Sanggup pula si wanita itu mengeluarkan kata-kata pedih yang buatkan si lelaki rasa sedih. Ini dunia wahai lelaki. Tatkala engkau masih lagi dilihat sebagai perlu, anda disanjung. dihargai dan dihormati. Tapi tunggu dan awas!. Satu masa, anda dibawah kaki yang lain. Dihina dan dicaci.Itu dogma dunia.Kehidupan yang menyakitkan. Sementara masih lagi dapat, bersyukurlah..kerana suatu masa, pabila sudah tidak daat, anda pasti merinduinya. Sementara ada, hargailah.. Bukan mudah baginya melaksanakan segalanya. Perlu pengorbanan. Dan jika dia sanggup melakukannya, bermaksud anda sesorang dihatinya.

#akuyangperlukanpenghargaan


Friday, 24 August 2012

Perkara mudah yang susah

Salam,
Usai sudah dari sibuk melayani lagu-lagu Hari Raya. Di sini, Hari Raya hanya pada 1 Syawal. Kemudian, lenyap sudah suasana itu. Walaupun masih lagi ada segerombolan kecil manusia cuba membangkitkan suasana itu, namun ia tidak memberi impak maksima kepada masyarakat. Hal ini jelas sekali berbeza jika dibandingkan dengan Malaysia. Hari Raya yang disambut bagai membalas dendam atas pengorbanan sebulan berpuasa. Itu semangat orang Malaysia yang sangat aku kagumi. Istiqamah dalam meraikan sesuatu. Aku rindukan Malaysia.

Hari ini terpanggil aku mencoretkan sesuatu. Bukan pada pena yang basah, juga bukan pada lidah yang satu. Tapi jelas sekali pada jari-jemari yang gemar menaipkan sesuatu. Kali ini aku sulamkan nukilan aku dengan cebisan idea daripada seorang yang berilmu.
Mahukan anda tahu suatu perkara yang mudah, tapi besar ganjarannya.Perbuatan yang dilihat agung di sisi Allah. Perbuatan yang bakal dikira sebagai satu amalan mulia di akhirat kelak. Kata Nabi S.A.W, " berdiam pada sesuatu yang dianggap sia-sia". Mudah bukan. Hanya berdiam diri. Tidak mengeluarkan kata-kata,memberi pendapat, mahupun meluahkan isi hati. Cukup mudah. Dudukpada suatu tempat, diam tanpa ada apa-apa reaksi. Dan itu akan dipandang mulia oleh Allah.

Tapi jangan dipandang enteng pada perbuatan ini. Kerana Nabi sendiri menghabiskan kata-kata beliau dengan memberi jaminan bahawa orang baik seperti Abu Dzar pun tak mampu melaksanakan perkara mudah ini.

Benar kata-kata mutiara itu. Bukan perkara mudah bagi kita terutama pada orang kebiasaan ini untuk melakukannya. Mulut menjadi kuasa yang tiada tolok tandingnya. Mengawal mulut adalah perkara mustahil.Mencaci, maki, hamun, mengumpat dan sebagainya sudah dianggap kebiasaan. Fitnah, menjatuhkan yang lain, mengutuk, memperkecilkan manusia dan macam-macam lagi, ini dianggap kemestiaan. Benar. Bukan suatu perkara mudah walaupun dilihat kecil.
Atas dasar kesukaran itulah, Allah memberikan ganjaran besar pada sesiapa yang mampu melakukannya.

Aku melihat pada dunia kini. Perkara ini bukan satu keganjilan. Kadang-kadang percakapan biasa juga disulamkan dengan perkara-perkara dusta. Sehinggakan kita tidak mampu membezakan mana satu kebenaran,mana satu yang dusta. 

Ini realiti masa kini.. 
Yang dilihat kerdil, tapi beerti. 
Atas niat mahu berkongsi, 
marilah sama-sama kita aplikasi. 
Moga amalan diterima Ilahi,
Agar diri sentiasa diberkati.
 

Thursday, 16 August 2012

MENGERTI

Salam,
"Letakkan dirimu pada situasi diriku, nescaya engkau akan MENGERTI.
Berjauhan dari kampung halamanmu bukan suatu perkara yang diimpi.
Banyak kata dari mulut-mulut orang yang tiada berfikir lagi.
Mudah meluahkan kata, namun tidak pada diri.
Sekali engkau merasa, pasti perit rasa hati.
Melihat rakan dan saudara pulang setiap hari.
Menjadikan engkau rindu sekali.
Bukan meminta dan meraih simpati.
Tapi cukup jika engkau MENGERTI."

Mungkin sudah ramai dapat merasai apakah yang bakal aku perkatakan hari ini.
Benar, tidak mudah seperti anda semua rasakan.
Kadang-kadang topik ini jadi bahan ketawa rakan-rakan anda. 
Melihat engkau merintih rindu dan teringat kampung halaman membuatkan mereka tertawa.
Itu biasa pada insan bergelar manusia yang langsung tidak pernah berusaha untuk memahami.
Melihat teman berduka adalah suatu kepuasan dalam diri.
Merasai kelebihan yang tidak dirasai insan lain adalah suatu perkara yang dianggap tinggi.
Perbezaan, tidak lagi untuk dikongsi. Tapi untuk dicaci.
Maka bersedialah. Bersedialah dirimu tatkala diri disogok dengan perkara yang engkau tidak punyai.

Sabar, itu aset penting yang perlu ada dalam dirimu.
Terbang jauh dari negaramu dengan impian membangunkan anak bangsa bukanlah suatu perkara mudah.
Mental , fizikal , spiritual dan rohani suatu pertaruhan menjaga maruah.
Oleh itu, siapkanlah. Siapkanlah dirimu agar sentiasa bertemu tuah.

Kini, aku sudah biasa diperlakukan begitu. 
Kerana aku sedar, mereka tidak berada dalam bahtera bersamaku.
Untunglah kamu kerana sudah mempunyai arah tuju.
Usah ditangis lagi pada perbuatan mereka padamu.
Anggaplah itu semua cebisan dan lukisan indah dalam hidupmu.
Bagai ombak yang tak pernah tenang dengan derusan angin lalu.
Ada saja alunan tinggi rendah bertalu-talu.

#selamathariraya
#walaujauhdimata,namundekatdihati
#kampunghalamanmenjadimimpi,agarsentiasaterusdiingati

 

Saturday, 11 August 2012

Jawapan yang aku nantikan

Salam,
Nasib langkahmu membetulkan keadaan adalah cepat. Seharian aku mengenangkan nasib atas keputusan yang engkau ambil. Mengharapkan ada perubahan dari pihakmu. Perubahan yang bakal mewarnai semula hidupku yang sudah bertukar hitam. Entah apa yang engkau fikirkan waktu itu. Aku mula merasakan ada yang tak kena. Seakan-akan keputusan yang tidak kena.
Keputusan yang bukan datang dari hatimu yang ikhlas.
Keputusan yang hanya melarikan dirimu daripada semua kegusaran ini.
Tepat sekali!
Engkau bingkas membetulkan keadaan. Memastikan aku tidak jauh darimu. Mengharapkan aku belum melemparkan jauh perasaanku.Terima kasih atas aksi pantasmu menyelamatkan keadaan.
Moga keputusan yang engkau lakukan adalah yang terbaik bagi dirimu. Aku bersyukur masih dikurniakan peluang dan ruang. Akan aku pastikan peluang ini tidak disia-siakan.
Terima kasih juga atas pesananmu itu. Walau dalam bahasa lain sekalipun, aku masih memahaminya.=)


Wednesday, 8 August 2012

di sini hentinya

Salam.
Terjawab sudah segalanya. Hati yang disimpan lama berkecai bak kaca dilempar ke batu.
Hancur luluh lerai dan musnah. Bukan mudah untuk aku jalinkan semula.
Tinggal kaca bertaburan dan berderai. Kini aku hanya mampu mengutip semula segala sisa serpihan.
Mana tahu ada lagi yang inginkan serpihan kaca ini.
Di sini hentinya....

Kejam? Dia manusia. Sampai hatinya? Itu keputusan dia.
Apa lagi dapat aku katakan..
Di sini hentinya...

Cantik? Benar. Aku akui. Tapi kenapa begitu aku diperbuatkan? Cantik itu luaran, dalam belum tentu.
Jahat? Mungkin tidak. Tapi terlampau baik.
Apa lagi dapat aku katakan...
Di sini hentinya...

Selepas ini? Dia bebas begitu juga aku. Tunggu? Sentiasa menanti dan terus menanti.
Kecewa? Itu sahaja perasaan aku tika ini. Tidak aku sangka begitu jadinya.
Nasib, takdir atau kebetulan? tak mampu aku pilih lagi,
Biarlah aku terima hakikat ini. Hakikat yang amat perit dan sakit.Hakikat dunia yang bakal mematangkan diri
Apa lagi dapat aku katakan...
Di sini hentinya...

Jangan pernah rasa untuk kembali... kerana aku tiada hati lagi untuk diberi.
Mungkin ada ruang bagimu pada orang lain tapi bukan aku.
Terlampau kejam perbuatan mu.
Tapi tak mengapa. Aku masih berharap dan terus berharap.
Apa lagi dapat aku katakan... 
Di sini hentinya...


Tuesday, 7 August 2012

Obsesi minggu ini

Salam,
Sementara menantikan masa berbuka puasa di Newcastle, Australia aku sempat merenung beberapa klip video yang membuatkan aku gila seketika tatkala mendengar. Kedua-dua wanita yang berjaya membuatkan aku sanggup meluangkan masa mendengar lagu-lagu dendangan mereka di saat aku di hadapan komputer ribaku. Kedua-dua kelopak bunga indah ini berusia 20tahun. Mempunyai kelebihan diri yang sama. Bijak menggunakan bakat tersendiri tanpa menggadaikan maruah dan agama sendiri. Syabas aku ucapkan...
Baru berusia 20 tahun namun punyai masa depan yang cerah. Masih bergelar pelajar namun tidak menghalang diri untuk bergelumang dalam bidang seni.

1. Ainan Tasneem
















2. Tasha Manshahar
















Promosi video untuk kedua-dua kelopak bunga yang aku maksudkan...Semoga kedua-duanya berjaya dalam bidang masing-masing. Biar apa jua bidang diceburi, letakkan Allah pada tujuan utama, diri sebagai perkara penting, agama dan bangsa sebagai sasaran berbakti...

#selamatberbuka

Monday, 6 August 2012

Dimana pendirianmu

Salam,

Bunga, itu analogi mudah milik seorang wanita. Cantik, menawan, menarik dan ada ciri-ciri tersendiri.
Kumbang, sesuai buat sang jejaka. Tertarik pada bunga, gagah, bijak, dan bertanggungjawab.
Itu lukisan dunia.
Lumrah kehidupan yang telah lama diadaptasikan.
Samada fantasi mahupun realiti, dah berjuta manusia menghadapinya.
Kumbang akan hinggap pada bunga. Bermadu asmara mencari cinta. 
Bunga pula berusaha sedaya upaya menarik kumbang sekadar mampu.
Itu lukisan dunia.
Takdir?... Ya benar. Itu ketentuan Maha Esa. 
Ubah? ... Mampukah kita? Usaha sedaya boleh..Itu tugas kita.

Buatlah pilihanmu... Pilihan yang bakal menetukan masa depanmu. Jangan berharap pada dua kumbang yang berbeza. Bimbang kedua-duanya terbang pergi. Tetapkanlah pendirianmu, kerana itu lebih menjamin kehidupan yang bahagia. Menjadikan dirimu bunga yang berprinsip dan berkuasa atas diri sendiri. 
Masamu tidak lama. Tiba masa, manusia akan menantikan keputusanmu. Pada waktu itu, kumbang mana jadi pilihanmu? Jangan sampai sudah bersarang kumbang itu pada kelopak bungamu , baru terfikir untuk menghalau. Dan jangan sampai lari kumbang itu baru teringat untuk menarik perhatiannya. Kerana itu semua sia-sia sahaja.

#nukilandarihati
#ItuLukisanDunia

Tuesday, 17 July 2012

Kembali

Salam,
Aktiviti harianku berjalan seperti biasa. Mujur hari ini aku cuma ada satu kelas sahaja. Memandangkan masa agak banyak terluang, aku bercadang untuk terus menuju ke pasaraya berdekatan sebaik selepas kelas. Tujuanku hanyalah untuk membeli barang-barang keperluan untuk memulakan semester baru dan memastikan aku lebih tersusun dan teratur pada semester kali ini. 


Aku dikejutkan dengan satu mesej yang masuk ke telefon bimbitku. Penghantarnya tidak syak lagi, si dia. Mungkin mencuba untuk meraih perhatian aku kembali. Aku hanya membaca mesej tersebut sekali lalu. Ternyata isi kandungannya penuh dengan kata-kata manis memohon maaf kepada aku. Terus aku padamkan telefon dan berlalu pergi meneruskan kerja yang ingin aku lakukan.

Setibanya di rumah, ada dua lagi panggilan yang aku terima. Juga sama pemanggilnya dengan individu bertanggungjawab yang menghantar mesej kepada aku sebentar tadi. Sekali lagi, tidak aku layan. Mungkin kandungan bicaranya juga bakal sama. Memohon maaf atas apa yang berlaku sejak seminggu yang lalu.

Aku rasa tiada perasaan untuk menjawab panggilan mahupun membalas mesej yang dihantar. Namun, aku tidak punya rasa marah, kerana aku memahami apa yang berlaku itu ada sebab kukuhnya. Berada jauh dari kawasan yang mempunyai perkhidmatan telefon mahupun internet membuatkan sukar untuk menyatakan khabar berita. Benar alasan itu. Aku terima. Dan tidak lagi perlu memohon maaf kerana aku langsung tidak memarahimu. Aku baik-baik saja di sini. Seminggu, sebulan, mahupun setahun, aku boleh saja hidup tanpa khabar berita daripadamu. Kerana hidup dan matiku bukan letaknya di tangan mu, sebaliknya di tangan Khaliq, yang menciptakanku. Jika benar pilihan kau adalah tidak berkirim khabar berita, aku terima saja. Tanpa ragu lagi, aku tidak akan berhubung lagi denganmu. Namun jika kau rasa perlu untuk berhubung denganku, silakanlah. Tapi, buat masa sekarang, aku tidak akan melayan sebarang bentuk perhubungan daripadamu.Maaf.

Pesanan buatmu. Aku rasa langkahmu kali ini bakal meberi padah kepada dirimu sendiri. Jika orang yang kau tinggalkan ini hilang pertimbangan akal yang waras, tempatmu yang dulunya teguh, bakal diganti yang lain. Jujur aku katakan. Aku paling benci rasa ditinggalkan, dan paling suka rasa disayangi dan diberi perhatian. Jika ada yang lain mampu memberi perhatian kepadaku tatkala aku ditinggalkan, tidak mustahil dia bakal menjadi ganti...Dan aku rasa, sama juga keadaannya denganmu. Jika aku yang tinggalkanmu untuk suatu tempoh masa yang lama, mungkn kau akan memeprtimbangkan untuk mendapatkan yang lain, yang mampu memberi perhatian kepadamu dan tidak meninggalkan mu. Kerana kita adalah manusia. Yang punya hati dan perasaan.

Fikirlah sendiri demi kebaikanmu..

Monday, 16 July 2012

Keberanian terbatas

Salam,
Buat masa sekarang aku masih lagi mempunyai minat untuk terus berkarya. rasa tenang juga seketika tatkala dapat meluahkan rasa. Namun  aku lebih berpuas hati jika si dia membaca apa yang aku coretkan. Kerana beberapa hasil tulisan aku yang baru ini adalah khas untuknya. Kehadiran si dia yang benar memberi kesan bagiku semenjak mula hingga kini. Kata orang, jika mahukan sesuatu, berusahalah untuk mendapatkannya walau apa cara sekalipun.
Tapi kini aku harus berwaspada. Aku tidak mahu lagi ada unsur suka ria dan berpaling tadah. Aku gagahkan diriku dan beranikan langkahku untuk memulakan aksi bicara. Harapanku, jika ada jawapan dari balik sana, aku gembira. Jika tidak sekalipun, cukup saja sekadar jadi memori indah..

Sunday, 15 July 2012

Gelombang Kedua

Salam,
Ucapan yang baik tentunya datang dari hamba-Nya yang mulia.

Kali pertama mula mencoret cerita setelah hampir enam bulan berkelana di negara orang. Mengabaikan blog ini bukan kerana melupakannya, tapi kerana ada wadah lain yang lebih diutamakan. Namun pabila melihat si dia yang begitu aktif mencoretkan cerita di laman blog miliknya, aku terpanggil untuk menyuburkan kembali minatku untuk berbicara sendiri. 
Tatkala aku menyiapkan diri menghadapi gelombang kedua di alam pelajaranku, hati ini diusik lagi. Usikan manja yang membuaikan jiwa. Namun jika dibiarkan, ibarat sang helang menerpa mangsanya.Hati yang dikawal rapi, tak mampu menepis usikan ini. 
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Terdetik di hati kecilku, apakah kebarangkalian yang menjadi buah mulut ramai manusia bakal menghantui hidupku jua. Lama berkenalan tidak menjadi sauh kukuh bagi menghentikan kapal dari dilambung ombak asmara. Sauh yang aku pasakkan jauh di dasar laut gagal menghalang gelora ini dari membadai. Sekali lagi aku biarkan,  
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Karma!
Itu juga yang aku bayangkan. 
Janji?
Aku ini bergelar manusia, hanya janji Allah yang pasti.

Langkah mu kali ini mengundang padah. Sudah berkali aku ingatkan. Jangan diuji diriku ini. Takut engkau tak sanggup menanggung kesannya.  
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Belum pernah ada pengembala kambing yang berjaya menternak kambing tanpa kandang. Tanpa pengawalan rapi. Apakah engkau ingin mencuba sebagai yang pertama? Jika haiwan bernama kambing pun perlukan penjagaan, inikan pula manusia yang punyai hati dan perasaan. Apakah kau rasa kedudukan engkau dah stabil? Apakah kau yakin sebagai pengembala cinta yang tak perlukan kandang dan penjagaan rapi? Engkau salah sama sekali. Itu langkah pemusnah duniamu sendiri. 
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Dia datang bagai angin, mengusik jiwa bagai alunan muzik, terpahat dalam dada bagai memori, sukar untuk aku menoleh lagi. Engkaulah Miss Koala yang ku cari. Akan ku biarkan ia bertamu seketika. Melihat sejauh mana mampu ku pergi. Apa yang ku pinta, jika engkau masih berharap lagi, betulkan langkah mu segera, kerana tempatmu bakal diganti.