Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Tuesday, 17 July 2012

Kembali

Salam,
Aktiviti harianku berjalan seperti biasa. Mujur hari ini aku cuma ada satu kelas sahaja. Memandangkan masa agak banyak terluang, aku bercadang untuk terus menuju ke pasaraya berdekatan sebaik selepas kelas. Tujuanku hanyalah untuk membeli barang-barang keperluan untuk memulakan semester baru dan memastikan aku lebih tersusun dan teratur pada semester kali ini. 


Aku dikejutkan dengan satu mesej yang masuk ke telefon bimbitku. Penghantarnya tidak syak lagi, si dia. Mungkin mencuba untuk meraih perhatian aku kembali. Aku hanya membaca mesej tersebut sekali lalu. Ternyata isi kandungannya penuh dengan kata-kata manis memohon maaf kepada aku. Terus aku padamkan telefon dan berlalu pergi meneruskan kerja yang ingin aku lakukan.

Setibanya di rumah, ada dua lagi panggilan yang aku terima. Juga sama pemanggilnya dengan individu bertanggungjawab yang menghantar mesej kepada aku sebentar tadi. Sekali lagi, tidak aku layan. Mungkin kandungan bicaranya juga bakal sama. Memohon maaf atas apa yang berlaku sejak seminggu yang lalu.

Aku rasa tiada perasaan untuk menjawab panggilan mahupun membalas mesej yang dihantar. Namun, aku tidak punya rasa marah, kerana aku memahami apa yang berlaku itu ada sebab kukuhnya. Berada jauh dari kawasan yang mempunyai perkhidmatan telefon mahupun internet membuatkan sukar untuk menyatakan khabar berita. Benar alasan itu. Aku terima. Dan tidak lagi perlu memohon maaf kerana aku langsung tidak memarahimu. Aku baik-baik saja di sini. Seminggu, sebulan, mahupun setahun, aku boleh saja hidup tanpa khabar berita daripadamu. Kerana hidup dan matiku bukan letaknya di tangan mu, sebaliknya di tangan Khaliq, yang menciptakanku. Jika benar pilihan kau adalah tidak berkirim khabar berita, aku terima saja. Tanpa ragu lagi, aku tidak akan berhubung lagi denganmu. Namun jika kau rasa perlu untuk berhubung denganku, silakanlah. Tapi, buat masa sekarang, aku tidak akan melayan sebarang bentuk perhubungan daripadamu.Maaf.

Pesanan buatmu. Aku rasa langkahmu kali ini bakal meberi padah kepada dirimu sendiri. Jika orang yang kau tinggalkan ini hilang pertimbangan akal yang waras, tempatmu yang dulunya teguh, bakal diganti yang lain. Jujur aku katakan. Aku paling benci rasa ditinggalkan, dan paling suka rasa disayangi dan diberi perhatian. Jika ada yang lain mampu memberi perhatian kepadaku tatkala aku ditinggalkan, tidak mustahil dia bakal menjadi ganti...Dan aku rasa, sama juga keadaannya denganmu. Jika aku yang tinggalkanmu untuk suatu tempoh masa yang lama, mungkn kau akan memeprtimbangkan untuk mendapatkan yang lain, yang mampu memberi perhatian kepadamu dan tidak meninggalkan mu. Kerana kita adalah manusia. Yang punya hati dan perasaan.

Fikirlah sendiri demi kebaikanmu..

Monday, 16 July 2012

Keberanian terbatas

Salam,
Buat masa sekarang aku masih lagi mempunyai minat untuk terus berkarya. rasa tenang juga seketika tatkala dapat meluahkan rasa. Namun  aku lebih berpuas hati jika si dia membaca apa yang aku coretkan. Kerana beberapa hasil tulisan aku yang baru ini adalah khas untuknya. Kehadiran si dia yang benar memberi kesan bagiku semenjak mula hingga kini. Kata orang, jika mahukan sesuatu, berusahalah untuk mendapatkannya walau apa cara sekalipun.
Tapi kini aku harus berwaspada. Aku tidak mahu lagi ada unsur suka ria dan berpaling tadah. Aku gagahkan diriku dan beranikan langkahku untuk memulakan aksi bicara. Harapanku, jika ada jawapan dari balik sana, aku gembira. Jika tidak sekalipun, cukup saja sekadar jadi memori indah..

Sunday, 15 July 2012

Gelombang Kedua

Salam,
Ucapan yang baik tentunya datang dari hamba-Nya yang mulia.

Kali pertama mula mencoret cerita setelah hampir enam bulan berkelana di negara orang. Mengabaikan blog ini bukan kerana melupakannya, tapi kerana ada wadah lain yang lebih diutamakan. Namun pabila melihat si dia yang begitu aktif mencoretkan cerita di laman blog miliknya, aku terpanggil untuk menyuburkan kembali minatku untuk berbicara sendiri. 
Tatkala aku menyiapkan diri menghadapi gelombang kedua di alam pelajaranku, hati ini diusik lagi. Usikan manja yang membuaikan jiwa. Namun jika dibiarkan, ibarat sang helang menerpa mangsanya.Hati yang dikawal rapi, tak mampu menepis usikan ini. 
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Terdetik di hati kecilku, apakah kebarangkalian yang menjadi buah mulut ramai manusia bakal menghantui hidupku jua. Lama berkenalan tidak menjadi sauh kukuh bagi menghentikan kapal dari dilambung ombak asmara. Sauh yang aku pasakkan jauh di dasar laut gagal menghalang gelora ini dari membadai. Sekali lagi aku biarkan,  
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Karma!
Itu juga yang aku bayangkan. 
Janji?
Aku ini bergelar manusia, hanya janji Allah yang pasti.

Langkah mu kali ini mengundang padah. Sudah berkali aku ingatkan. Jangan diuji diriku ini. Takut engkau tak sanggup menanggung kesannya.  
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Belum pernah ada pengembala kambing yang berjaya menternak kambing tanpa kandang. Tanpa pengawalan rapi. Apakah engkau ingin mencuba sebagai yang pertama? Jika haiwan bernama kambing pun perlukan penjagaan, inikan pula manusia yang punyai hati dan perasaan. Apakah kau rasa kedudukan engkau dah stabil? Apakah kau yakin sebagai pengembala cinta yang tak perlukan kandang dan penjagaan rapi? Engkau salah sama sekali. Itu langkah pemusnah duniamu sendiri. 
Apa lagi perlu aku lakukan, biarkan sahaja ia bertamu.

Dia datang bagai angin, mengusik jiwa bagai alunan muzik, terpahat dalam dada bagai memori, sukar untuk aku menoleh lagi. Engkaulah Miss Koala yang ku cari. Akan ku biarkan ia bertamu seketika. Melihat sejauh mana mampu ku pergi. Apa yang ku pinta, jika engkau masih berharap lagi, betulkan langkah mu segera, kerana tempatmu bakal diganti.