Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 24 September 2012

Semerah Cinta Canberra

Salam,
Hari bergerak semakin pantas. Hari ini aku berada di penghujung bulan September menandakan tinggal beberapa minggu sebelum peperiksaan menjengah kembali.Namun, aku tidak mempersiakan cuti musim bunga selama dua minggu yang diberikan. Kali ini Canberra menjadi destinasi tujuan. Walaupun sambutan penyertaan rombongan yang kurang menggalakkan, namun aku masih menguatkan diri untuk menjadi salah seorang peserta rombongan untuk ke sana.Mungkin faktor destinasi yang kurang menarik membuatkan ramai yang berpaling tadah pada Canberra. Benar, aku akui. Tiada apa yang menarik perhatian bagi seorang insan berdarah muda yang mahukan keceriaan berganda dan keseronokan abadi seperti di Gold Coast dan Melbourne. Namun bagi seorang hamba yang inginkan ketenangan, menghayati alam kurniaan Allah yang tak pernah manghampakan, pastinya Canberra akan menjadi salah satu destinasi tujuan. Perancangan telah dibuat hampir seminggu sebelum cuti menjelma tiba. Aku mencadangkan Floriade 2012 menjadi salah satu agenda utama dalam pelan perancangan dek kerana acara ini adalah bersifat tahunan. Pesta bunga yang memaparkan lautan bunga-bunga indah ini sememangnya mempesonakan sesiapa saja yang mengunjunginya, tambahan jika seseorang itu bergelar pencinta alam.

Kata orang, "Bermusafirlah, kerana dengan bermusafir itu mata kita lebih luas memerhati, fikiran lebih kuat terjana, minda lebih rasional dan pengetahuan lebih luas." Dan sedarlah kita bahawa semua itu adalah ilham Ilahi. Ini matlamat dan tujuan aku kali ini. Selain ingin merehatkan minda dan menjamu rohani yang dahagakan keindahan alam semulajadi. Seperti biasa, aku bertugas selaku pemandu utama. Aku yang menawarkan diri untuk jawatan ini. Mungkin kerana aku amat gemar memandu. Tambah pula jika perjalanan itu mengambil suatu masa yang lama. Kata pembantu aku, perjalanan ini akan mengambil masa hampir 5jam lebih. Tidak mengapa, aku mampu bertahan. Apa guna bergelar pemuda, jika keringat yang ada tidak dikerahkan.

Alhamdulillah, kami tiba dengan selamat. Mujur Allah jalinkan ukhwah antara pelajar di Canberra dengan kami sebelum ini, dapatlah kami menumpang sementara merehatkan badan.Terima kasih daun keladi atas segala jasa baik anda semua.

Hari pertama kami mulakan dengan lawatan ke Australia National University (ANU).Kali pertama melihat kawasan universiti ini buatkan hatiku tertarik dengan keadaan suasana tenang yang dijelmakan melalui susun atur bangunan dan kebersihan kawasan. Hatiku terdetik lagi,"pasti semua ini terhasil atas didikan yang mantap".Kesedaran tentang menjaga kebersihan yang sejak kecil lagi dipupuk membuatkan ianya menjadi darah daging dan lumrah hidup masyarakat di sini. Perkataan "alangkah" dan"kalaulah" mula berpusing ligat di tengah otakku. Membayangkan keadaan negaraku,sekiranya keadaan seperti ini berlaku.Pasti aku adalah antara orang yang gembira dengan bangsaku. Walau bagaimana sekalipun, aku masih, tetap dan akan sentiasa berbangga dengan bangsaku dan tanah airku bumi tercinta.Dari segi infrastruktur dan prasarana pula, tak banyak yang ingin aku bandingkan dengan universiti tempat aku menggali ilmu. Lebih kurang sama sahaja. Malah aku bersyukur ditempatkan di situ. Kerana aku yakin, itulah yang terbaik bagiku.


 






Setelah selesai melawat kawasan, kami beralih arah dan tujuan ke Floriade 2012. Aku agak tidak sabar menantikan masa ini.Mungkin kerana tidak sabar untuk mengambil puluhan gambar untuk dikongsikan bersama kawan-kawan aku dan mungkin juga kerana tidak sabar untuk menjamu rohani yang sudah dahagakan keindahan alam ini.Kami disambut mesra dengan ribuan pengunjung yang rata-rata merupakan pelancong asing yang datang dari seluruh pelosok dunia. Suasana kelam kabut dengan ramai pengunjung itu membuatkan hatiku sekali lagi terdetik dibantu dengan ingatan memoriku yang lampau. Suhu ketika itu hampir 20 darjah dan memang panas bagi orang-orang Australia yang sudah biasa dengan suhu dibawah 10 darjah. Maka memori aku mengimbau kembali pada kedua-dua kali aku menjadi tetamu Allah di dua tanah haram. Ya Allah, bilakah akan aku jadi tetamu-Mu lagi? Sayu hatiku bila teringat kembali saat-saat aku disana. Biar panas mana sekalipun cuaca di sana, aku tetap rasa tenang. Tak pernah ada terdetik rasa kelam kabut dan serabut di sana. Ahhh, sukar aku nak gambarkan.Tiada kata dapat aku gunakan untuk jelmakan suasana itu. Tapi aku rindukan suasana tersebut. Rasa dekat dengan Pencipta dan Pembawa kebenaran. Rupanya, bukan aku sahaja yang merasakan seperti itu. Aku disapa oleh rakanku Amin, yang turut menyatakan perasaan yang sama.Mungkin bagi kami yang pernah merasai suasana di tanah haram itu mudah bagi kami untuk terdetik perkara sedemikian.Perasaan aku bertambah-tambah tatkala aku teringat akan 'kekasih' hati aku yang sedang dalam perjalanan ke tanah suci bersama suaminya.Puan Musliza, 'kekasih' hidup dan matiku. Untungnya beliau dapat menjadi tetamu Allah dua kali dalam tahun yang sama. Lengkap sudah rukun Islam beliau.Aku doakan haji beliau dan suaminya diterima sebagai haji yang mabrur.Aku biarkan perasaan itu berlalu. Namun aku harapkan ianya bakal menguatkan semangat aku untuk menjadi tetamu Allah selepas ini.

Melihat hamparan bunga yang bertaburan indah buatkan aku rasa tenang dan lapang. Bunga yang ceria berwarna-warni mengajar aku betapa hidup ini penuh dengan kepelbagaian. Terpulanglah kepada kita selaku manusia untuk memilih arah dan tuju masing-masing. Jangan pernah menyalahkan orang lain,kerana kita sentiasa diberi pilihan dalam hidup.Cuma mungkin kerana pilihan yang dibuat itu sesuatu yang salah, seterusnya menjerumuskan diri kita ke arah yang durjana. Walaupun pilihan itu terpulang kepada kita, tapi kita masih lagi diberi bantuan oleh Yang Maha Esa. Istikharah dan doa sentiasa menjadi alat bantuan utama yang tak pernah mengecewakan kita. Pabila hati sudah yakin bahawa hidup ini berada dibawah ketentuan Allah, berdoalah atas segala apa keputusanmu. Moga dengan doa yang engkau panjatkan itu akan membuatkan pilihanmu menjadi lebih diberkati dan sentiasa mendapat bantuan Allah.

Perjalanan kami hampir tiba di pengakhiran. Tapi sebelum itu kami singgah sebentar ke salah sebuah muzium perang. Bagi menyemarakkan rasa patriotisme dalam jiwa kami, destinasi ini dipilih untuk menjadi antara aktiviti dalam pelan utama. Apa yang menarik perhatianku adalah apabila sejarah tentang negaraku ditawan turut dimuatkan di dalam muzium ini. Ada juga diceritakan bagaimana mudahnya Jepun menawan Tanah Melayu ketika itu. Rasa sedih juga tatkala merenung kembali sejarah yang berlaku. Tapi aku yakin tiada seorang pun yang inginkan segala kisah silam itu berulang kembali. Sama-samalah kita menjaga dan menyayangi negara kita. Jangan biarkan persengketaan menjadi tatapan harian kita. Kerana persengketaan itulah menjadi putik kepada tumbuhnya sebuah perpecahan.Walaupun hati aku bukan seorang sejarawan, namun aku masih lagi berasa tertarik untuk membaca dan meneliti semua sejarah yang dipaparkan. Mungkin cara dan teknik paparan yang digunakan di muzium tersebut membuatkan sesuatu fakta itu menarik untuk diperhatikan.Tidak lama kami di sini kerana tidak banyak untuk kami tatapkan. Cuma melatih diri untuk sentiasa peka dengan sejarah lampau,agar diri ini tidak mengulangi kesilapan lalu. 

Kami pun bersiap sedia untuk meneruskan perjalanan pulang. Walau singkat masa yang kami luangkan, tapi kepuasan itu jelas terasa. Bermanfaat dan menyeronokkan.Itu dua perkataan yang dapat digunakan untuk menggambarkan pengembaraan kami kali ini. Terima kasih yang tidak terhingga buat saudara Amin atas kesudian menjadi peneraju utama kepada perancangan pengembaraan kali ini. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat sepanjang perjalanan kami.Selamat tinggal Canberra. Semoga bertemu lagi di lain waktu.
Salam musim bunga dari saya: Hauzan Muttaqin.2012.
 

No comments:

Post a Comment