Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Sunday, 28 April 2013

Si Kaca Mata 2

Salam, 

Maka aku pun melalui zaman hidup yang agak sukar berbanding kanak-kanak lain. Memakai cermin mata pada usia muda bukanlah satu perkara suka-suka. Malah banyak pantang larang penjagaannya yang sukar diambil perhatian oleh kanak-kanak seperti aku. Antara yang paling ketara adalah bidang sukan. Aku seorang yang agak aktif dalam bersukan. Keinginan untuk turun ke padang dan bermain amatlah tinggi baik bola sepak mahupun sukan lain. Namun stigma masyarakat kebiasaannya menjadi penghalang untuk aku bermain. Budak yang berkaca mata selalu juga tidak diberikan peluang secukupnya untuk bermain kerana bimbang apa-apa berlaku kepada cermin mata tersebut. Namun begitu aku masih lagi optimis untuk sentiasa melibatkan diri dalam apa sahaja aktiviti yang diadakan.

Selama 17 tahun bersama cermin mata, hanya aku yang tahu perasaan sebenar. Sukar juga untuk menceritakan kepada orang lain dan membuatkan mereka faham dengan kesukaran yang kita alami. Sehinggakan akhirnya aku hanya mampu berdiam diri sahaja dan tidak lagi memilih jalan untuk menceritakan kekurangan yang aku alami. Kerana bagi aku, penglihatan seperti ini hanya aku seorang sahaja yang alami dan faham benar dengan keadaannya. Tiada guna diceritakan kepada orang jika mereka tidak mampu untuk menyelami perasaan kita yang mengalami kekurangan ini.

Hidupku penuh dengan proses melatih koordinasi otak dan mata dengan betul. Kerana aku mahukan satu decision making yang tepat. Semakin aku meningkat umur, semakin mantap koordinasi otak dan mata aku dalam membuat keputusan tentang kedudukan objek. Paling ketara apabila aku mampu bermain sukan seperti bola keranjang yang memerlukan aku membuat jaringan dengan tepat. Walaupun aku mengambil keputusan untuk membuka cermin mata tatkala setiap kali bermain, tapi aku masih lagi mampu mengawal koordinasi mata. Namun begitu, penglihatan yang aku ada tidaklah baik seperti orang lain. Masih ada kabur dan imej salah yang datang sekali-sekala.

Bagi aku, pencapaian terbesar dalam hidup adalah apabila aku mampu membuat jaringan ketika bermain bola keranjang. Untuk pengetahuan semua, memang bola keranjang adalah sukan kegemaran aku. Jadi aku gunakan sukan ini untuk betul-betul melatih mata aku. Dan alhamdulillah kini aku mampu bermain dengan agak baik walaupun mempunyai kekurangan penglihatan yang begitu. Tapi cuba kita sama-sama bayangkan. Dengan penglihatan yang aku ada, memang amat sukar untuk aku bermain sukan tersebut. Malah pernah seorang kawan mengatakan kepada aku bahawa adalah mustahil untuk aku bermain dengan kekurangan penglihatan sebegitu. Benar juga katanya, tanpa latihan koordinasi mata dan otak aku, mana mungkin aku dapat menentukan kedudukan sebenar jaring untuk aku membuat jaringan. Tiada yang mustahil dalam dunia ini. dan aku percaya pada kata-kata itu kerana aku sudah mengalaminya. 

Kini, alhamdulillah aku mampu untuk melibatkan diri dalam pelbagai sukan dan mampu juga untuk bermain dengan agak baik. Bagi aku, jika aku dapat menangkap bola, menerima hantaran, membuat jaringan dan lain-lain, ini semua sudah dikira kejayaan kepada aku. Walaupun aku tidak memenangi permainan itu. Kerana jika difikirkan, dengan penglihatan aku yang sebegitu teruk, mana mungkin aku dapat melakukan semua itu. Jadi kepada sesiapa yang bermain denganku selepas ini, hargailah dan simpatilah kepada hamba Allah yang punyai kekurangan penglihatan ini. Sokongan moral adalah apa yang saya harapkan dan bukannya caci maki daripada anda tatkala saya melakukan kesilapan dalam permainan.

Dan kepada yang lain, hargailah nikmat penglihatan yang Allah berikan. Walau bagaimanpun, aku tetap bersyukur dengan apa yang aku punyai. Sekurang-kurangnya aku masih dalam melihat keindahan dunia.

Terima kasih kepada yang sudi membaca...


Monday, 15 April 2013

Si Kaca Mata

Salam,

Mungkin ramai yang masih belum tahu kisah disebalik cermin mata yang aku pakai. Ini tahun ke-17 aku bersama dengan cermin mata. Perkenalan aku dengan si cermin mata bermula sejak aku berumur 5 tahun. Aku ingat lagi peristiwa yang membuatkan hidup aku melekat dengan cermin mata. Pada ketika itu, kami sekeluarga berada di sebuah kedai cermin mata bagi memeriksa keadaan mata abang aku yang dikatakan agak kabur. Melihatkan kepada kecanggihan mesin yang digunakan ketika itu, aku merungut untuk turut memeriksa mata aku. Pada umur 5 tahun, sememangnya tidak ramai yang akan mengesyaki sesuatu. Namun apabila keputusan pemeriksaan dikeluarkan, doktor terkejut melihat keputusan tersebut. Katanya, mata aku jauh lebih teruk daripada abangku dan beliau mencadangkan aku untuk turut memakai cermin mata. Tetapi cermin mata aku amat berlainan memandangkan aku mempunyai astigmatism yang agak tinggi. Mata sebelah kiriku yang paling teruk. Aku masih ingat lagi, cermin mata yang pertama aku pakai adalah cermin mata dengan bingkai jenama Popeye. Harga pada ketika itu sudah mencecah RM500. Memandangkan aku perlu menggunakan cermin khas yang perlu ditempah. Kesian juga memikirkan ibu bapa aku yang perlu membayar sebegitu banyak semata-mata mahu memberikan penglihatan yang jelas semula kepadaku. Pada ketika itu, RM500 sudah boleh dikira sebagai satu jumlah yang besar.

Sedikit kisah mengenai kekurangan yang aku alami. Nama saintifiknya memanglah astigmatism. tapi aku tak berapa pasti punca dan kesannya. Apa yang aku tahu hanyalah kekurangan pada ketajaman penglihatanku. Tanpa cermin mata, aku akan nampak satu objek itu ada dua. Yang pertama objek sebenar dan yang kedua ialah imej kepada objek tersebut. Namun begitu, aku akan nampak imej kepada objek tadi sebagai satu perkara yang betul dan aku akan katakan itulah objek sebenar. Padahal objek sebenar adalah disebelahnya(faham ke?). Contohnya macam ini. Ada sebiji bola dihadapan aku. Mata aku akan nampak objek tersebut di sebelah kanan dan imej kepada objek tersebut disebelah kiri. Tetapi, otak aku akan mengatakan bahawa objek disebelah kiri (imej) adalah objek sebenar. Jadinya kalau orang suruh aku ambil bola tersebut, memang aku akan ke sebelah kiri dan cuba untuk ambil bola itu. Tapi pada realitinya, bola itu ada disebelah kanan aku. Begitulah teruknya keadaan mata aku. Waktu kecil dulu memang agak teruk sebab aku masih tidak pandai untuk ajar otak aku mengenali objek sebenar. Tapi bila aku semakin dewasa, aku dah pandai untuk mengawal otak aku supaya tidak lagi tertipu dengan mata aku.(hehe).

Di bawah ini aku tunjukkan beberapa gambar tentang astigmatism. Tapi most of this pictures adalah yang bukan severe seperti aku. Jadi penglihatan mereka hanyalah kabur dan bukan seperti aku. 
cumanya gambar ini hanyalah untuk memberi penerangan lanjut tentang kekurangan yang aku hadapi.


Nantikan sambungan aku tentang perjalanan hidup aku sepanjang bersama si cermin mata...



Sunday, 7 April 2013

#kongsi

Salam,
Nukilan kali ini hanya sekadar perkongsian. Jauh sekali hendak meninggi diri. Mungkin ada dikalangan kita yang juga mengalami perkara yang sama. 

Baru-baru ini, datang seorang insan berbual denganku. Tidak lama lepas itu beliau mula memuji diriku. Katanya beliau kagum melihat aku yang tabah menghadapi segala ujian dan positif dalam semua kerja buat. (kalau dilihat dari luar, memang nampak tabah, tapi di dalam hati ni remuk juga la). Kata beliau lagi, sukar juga nak jumpa manusia yang sentiasa ada daya gerak diri yang positif, kerana selalunya kita sentiasa saja meletakkan tembok besar dihadapan kita sebelum kita mencuba melakukan sesuatu.

Beliau kemudian bertanyakan apa rahsia disebalik peribadi diri sebegitu. Dengan rasa rendah diri, aku memulakan bicara untuk berkongsi dengan beliau. Aku memberitahu beliau, tidak kira seberat mana ujian yang kita hadapi pun rahsia yang aku gunakan tetap sama. Rahsianya ialah 33 kali Subhanallah, 33 kali Alhamdulillah dan 33 kali AllahuAkbar setiap selepas solat fardhu. Memang tiada dalil kukuh kepada amalan ini. Namun, semenjak diberitahu oleh ibuku untuk mengamalkan perkara ini, aku merasakan seperti ada hikmahnya setiap kali mengamalkannya. Kadang-kadang, badan rasa letih sangat untuk melaksanakan sesuatu, namun amalan ini seperti mengurangkan beban dan memudahkan segala kerja buat.

Mungkin bagi orang lain, lain cara amalannya.Tidak kira apa jua amalan kita, yang pasti sentiasa ingat Allah adalah kunci kepada segalanya. Kerana dariNya kita datang dan kepadaNya jualah kita kembali...