Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Sunday, 28 April 2013

Si Kaca Mata 2

Salam, 

Maka aku pun melalui zaman hidup yang agak sukar berbanding kanak-kanak lain. Memakai cermin mata pada usia muda bukanlah satu perkara suka-suka. Malah banyak pantang larang penjagaannya yang sukar diambil perhatian oleh kanak-kanak seperti aku. Antara yang paling ketara adalah bidang sukan. Aku seorang yang agak aktif dalam bersukan. Keinginan untuk turun ke padang dan bermain amatlah tinggi baik bola sepak mahupun sukan lain. Namun stigma masyarakat kebiasaannya menjadi penghalang untuk aku bermain. Budak yang berkaca mata selalu juga tidak diberikan peluang secukupnya untuk bermain kerana bimbang apa-apa berlaku kepada cermin mata tersebut. Namun begitu aku masih lagi optimis untuk sentiasa melibatkan diri dalam apa sahaja aktiviti yang diadakan.

Selama 17 tahun bersama cermin mata, hanya aku yang tahu perasaan sebenar. Sukar juga untuk menceritakan kepada orang lain dan membuatkan mereka faham dengan kesukaran yang kita alami. Sehinggakan akhirnya aku hanya mampu berdiam diri sahaja dan tidak lagi memilih jalan untuk menceritakan kekurangan yang aku alami. Kerana bagi aku, penglihatan seperti ini hanya aku seorang sahaja yang alami dan faham benar dengan keadaannya. Tiada guna diceritakan kepada orang jika mereka tidak mampu untuk menyelami perasaan kita yang mengalami kekurangan ini.

Hidupku penuh dengan proses melatih koordinasi otak dan mata dengan betul. Kerana aku mahukan satu decision making yang tepat. Semakin aku meningkat umur, semakin mantap koordinasi otak dan mata aku dalam membuat keputusan tentang kedudukan objek. Paling ketara apabila aku mampu bermain sukan seperti bola keranjang yang memerlukan aku membuat jaringan dengan tepat. Walaupun aku mengambil keputusan untuk membuka cermin mata tatkala setiap kali bermain, tapi aku masih lagi mampu mengawal koordinasi mata. Namun begitu, penglihatan yang aku ada tidaklah baik seperti orang lain. Masih ada kabur dan imej salah yang datang sekali-sekala.

Bagi aku, pencapaian terbesar dalam hidup adalah apabila aku mampu membuat jaringan ketika bermain bola keranjang. Untuk pengetahuan semua, memang bola keranjang adalah sukan kegemaran aku. Jadi aku gunakan sukan ini untuk betul-betul melatih mata aku. Dan alhamdulillah kini aku mampu bermain dengan agak baik walaupun mempunyai kekurangan penglihatan yang begitu. Tapi cuba kita sama-sama bayangkan. Dengan penglihatan yang aku ada, memang amat sukar untuk aku bermain sukan tersebut. Malah pernah seorang kawan mengatakan kepada aku bahawa adalah mustahil untuk aku bermain dengan kekurangan penglihatan sebegitu. Benar juga katanya, tanpa latihan koordinasi mata dan otak aku, mana mungkin aku dapat menentukan kedudukan sebenar jaring untuk aku membuat jaringan. Tiada yang mustahil dalam dunia ini. dan aku percaya pada kata-kata itu kerana aku sudah mengalaminya. 

Kini, alhamdulillah aku mampu untuk melibatkan diri dalam pelbagai sukan dan mampu juga untuk bermain dengan agak baik. Bagi aku, jika aku dapat menangkap bola, menerima hantaran, membuat jaringan dan lain-lain, ini semua sudah dikira kejayaan kepada aku. Walaupun aku tidak memenangi permainan itu. Kerana jika difikirkan, dengan penglihatan aku yang sebegitu teruk, mana mungkin aku dapat melakukan semua itu. Jadi kepada sesiapa yang bermain denganku selepas ini, hargailah dan simpatilah kepada hamba Allah yang punyai kekurangan penglihatan ini. Sokongan moral adalah apa yang saya harapkan dan bukannya caci maki daripada anda tatkala saya melakukan kesilapan dalam permainan.

Dan kepada yang lain, hargailah nikmat penglihatan yang Allah berikan. Walau bagaimanpun, aku tetap bersyukur dengan apa yang aku punyai. Sekurang-kurangnya aku masih dalam melihat keindahan dunia.

Terima kasih kepada yang sudi membaca...


No comments:

Post a Comment