Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Thursday, 9 May 2013

Secebis Kain yang Menyelamatkan

Salam,
Ini kisah yang memang benar-benar berlaku pada diri aku dan buatkan aku rasa pentingnya kita untuk membawa identiti kita selaku muslim. Aku belajar di negara yang bukan mengamalkan konsep Islam. Sudah tentu mencari makanan di restoran adalah sangat sukar memandangkan keraguan mula timbul pada status halal makanan itu. Namun aku bertuah kerana di sini masih ada satu dua kedai yang menyediakan makanan halal untuk penganut agama Islam. Syukur masih syumul Islam di dunia ini.

Kisah bermula apabila aku bersiar-siar bersama kawan aku. Kawan aku juga merupakan seorang yang beragama Islam dan mengamalkan ajaran Islam. Beliau memang cantik dengan gaya tudung yang pelbagai. Tapi pada hari tersebut, beliau mengenakan sehelai selendang dengan fesyen biasa. Tiba sahaja tengah hari, kami mula terasa lapar dan mula mencari kiosk yang menjual makanan halal. Alhamdulillah kami berhenti di sebuah kedai makanan segera. Nama kedai ini ialah Oporto. Mungkin kalau di Malaysia, kedai ini hampir sama seperti McD dan KFC. Menu biasa yang dijual ialah burger dan ayam. Walaubagaimanapun, kedai ini turut menjual makanan tidak halal seperti hamburger dan sebagainya. Namun begitu, set ayam dan burger ayamnya memang terjamin halal. 


Jadi tanpa melengahkan masa, aku mendahului si dia untuk membuat pesanan makanan. Terpapar di menu kedai tersebut ada beberapa set burger ayam untuk sarapan. Aku memang selalunya memilih set tersebut memandangkan set tersebut tidak terlalu besar kuantitinya. Namun begitu, aku terlihat ada satu lagi set yang lebih kurang sama. Cuma perbezaannya set yang ditawarkan itu lebih besar burgernya. Tanpa membuang masa, aku memesan set baru tersebut. 

Respon daripada staf kiosk tersebut benar-benar mengejutkan aku. Katanya set tersebut datang bersama 'bacon' di dalamnya. Katanya lagi, 'Muslim cannot eat bacon'. Saya terkejut, bukan kerana pengetahuan beliau terhadap halal haram orang Muslim, cuma aku hairan, dari mana datangnya idea bahawa aku ini orang Islam. Aku berpakaian seperti biasa, tidak memakai serban, kopiah mahupun songkok. Aku tidak memakai baju yang menyatakan aku ini orang Muslim. Aku sungguh hairan. 

Tanpa membuang masa, aku bertanya bagaimana beliau tahu mengenai status Muslim aku. Tanpa melengahkan masa beliau menuding jari kepada rakan aku yang berada di belakangku. Katanya, sebentar tadi beliau nampak aku bersembang dengan rakanku sebelum membuat pesanan. Jadi, itulah sebabnya beliau menasihati aku untuk tidak memesan set baru tersebut dek kerana ada 'bacon' didalamnya.

Nampak mudah sahaja sehelai kain yang kaum hawa letakkan di atas kepala untuk melitupi aurat mereka. Namun jangan tak tahu bahawa secebis kain itu adalah maruah dan amanah agama yang kita anuti. 

Kesimpulan yang aku dapat daripada peristiwa kecil ini:
1) Aku bersyukur kerana diselamatkan Allah daripada darah dagingku menjadi bakaran api neraka
2) Kadang-kadang perkara yang kita nampak mudah, tapi membawa satu mesej yang amat mendalam
3) Kita sememangnya perlukan identiti

Nukilan hauzanmuttaqin.
# I am a Muslim. And I am a practicing Muslim 


No comments:

Post a Comment