Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Tuesday, 30 July 2013

Iftar Ramadhan


Hari ini aku akan garapkan satu bingkisan kejayaan dalam hidup aku. Walaupun kejayaan ini tidak sebesar mana, tapi biarlah nukilan ini menjadi bukti kepada generasi selepas ini. Agar keluarga aku mengetahui bahawa ahli keluarga mereka pernah menggapai kejayaan seperti ini.

Bulan Ramadhan memang takkan dilepaskan oleh pihak Islamic Society di universiti aku untuk menganjurkan iftar di universiti. Agendanya mudah. Kumpulkan pelajar Muslim dan berbuka bersama-sama di tengah-tengah kesibukan pelajar universiti. Menarik bukan? Selain mengeratkan persaudaraan, ini juga boleh dianggap sebagai salah satu cara untuk berdakwah.

Tahun ini aku mengambil tugas selaku Pengarah Projek bersama dengan sahabatku Fakarul Azim. Pada mulanya memang pelbagai tanda tanya timbul dek kerana ini pertama kali kami menguruskan majlis sebesar ini. Banyak benar perkara yang perlu diambil kira. Dari barang sebesar periuk belanga sehinggalah sekecil biji kurma. Segalanya perlu kami fikirkan. Namun alhamdulillah Allah mudahkan dengan bantuan daripada ahli persatuan yang penuh dedikasi.

Masanya hampir tiba apabila semester universiti dibuka semula. Debaran mula terasa, mampu atau tidak kami melaksanakannya. Membawa nama Muslim dan Islamic Society adalah satu bebanan berat di bahu dan dada kami. Tidak mahu dua nama ini dicemari lagi. Cukuplah dengan pencemaran oleh dunia maju sekarang.
Ingin juga kami buktikan kewibaan Muslim dan kemampuan Islamic Society untuk menarik perhatian pelajar universiti. Sehari sebelum majlis tersebut, ada yang menganggarkan kehadiran tidak akan memberangsangkan. Memandangkan ini baru iftar pertama dan publisiti yang kurang meriah. Belum lagi majlis berlangsung sudah ada pihak yang meletakkan sangkaan remeh kepada kami. Kecewa juga ketika itu. Kerana apa yang kami perlukan adalah sokongan moral, bukannya kritikan membunuh.

Namun kami tidak endah dengan sangkaan sesetengah pihak. Persetankan saja semua sangkaan itu. Apa yang pasti , tugas dan amanah wajib kami laksanakan sebaik mungkin. Isnin adalah hari yang ditunggu. Seawal 3 petang kami sudah berada di lokasi. Banyak benar perkara yang perlu diselesaikan. Bekas makanan untuk hidangan, khemah, tikar dan sebagainya. Semuanya perlu diambil dari satu lokasi lain yang agak jauh. Untung Allah kurniakan rezeki kepada kami dengan memiliki sebuah kereta. Dapat juga kami mengangkut semua barang tersebut.

Hampir satu jam sebelum majlis berbuka, suasana mula dipenuhi dengan kujungan orang ramai. Baik Muslim mahupun yang belum lagi Muslim. Bagi yang Muslim, memang mereka sudah memahami apa yang bakal berlaku. Tetapi bagi yang belum Muslim, majlis ini dilihat seperti pesta makanan, dengan hidangan makanan yang banyak hasil sumbangan Persatuan Pelajar Arab Saudi dan ada juga sumbangan individu. Ramai pelajar Muslim mengambil peluang untuk menjemput rakan yang belum Muslim untuk menyertai majlis ini. Suasana semakin gamat. Anggaran kehadiran pada hari tersebut hampir 300, menafikan sangkaan awal oleh sesetengah pihak bahawa kehadiran tidak akan mencecah ratusan.

Apa yang paling aku puas adalah segala perancangan kami berjalan lancar. Biarpun ada sedikit sahaja perkara-perkara kecil yang masih perlu kami betulkan, namun secara keseluruhan dapatlah aku simpulkan sebagai berjaya! Tahniah buat diri ku dan sahabatku. Perkara paling menarik perhatian aku adalah kehadiran pelajar dan juga staf bukan Muslim yang jauh lebih ramai berbanding sebelum ini. Malah lebih daripada jangkaan. Dan ada yang turut sama solat dan berdoa bersama kami.

Syukur alhamdulillah aku panjatkan pada Yang Maha Esa.. Dia lah yang meletakkan aturan yang terbaik bagi segalanya. Dan terima kasih juga kepada semua yang terlibat.

Satu amanah besar sudah aku langsaikan. Ada beberapa lagi program lain yang bakal menyusul dalam tahun ini. Semoga aku terus tekad melaksanakan tugas dengan baik berpadanan dengan setaip jawatan yang aku pegang.

No comments:

Post a Comment