Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 5 August 2013

Rezeki Allah?

Salam, 
Aku ada satu kisah yang masih segar. Baru sahaja berlaku pada diri aku sebentar tadi. Memang penuh pengajaran. Maka aku memutuskan untuk berkongsi kepada sesiapa sahaja yang menjadi pembaca nukilan ini. Baca dan ambil lah pengajaran berdasarkan pemahaman sendiri.

Kisahnya begini...

Setelah hampir sebulan dapur tak berasap, teringin juga ingin mencuba bakat memasak. Kali ini puding roti jadi pilihan dan roti john menjadi pilihan rakanku. Dengan tekad dan semangat yang tinggi, aku mula membeli-belah bahan-bahan yang diperlukan bersama rakanku. Walaupun semangat aku memang membara untuk meneruskan niat ini, namun kewangan aku agak terbatas. Mungkin kerana banyak juga wang yang aku gunakan untuk membantu rakan-rakan yang menghadapi masalah kewangan. Jadi memikirkan kewangan yang kurang memberangsangkan, hatiku agak ragu-ragu untuk meneruskan niat ini. Mungkin aku takut aku hanya membazir wang dengan meneruskan niat ini kerana aku belum tahu apakah hasilnya di akhir nanti. Jika sedap, maka berbaloilah pelaburan yang aku buat. Jika tidak, maka aku hanya membuang masa dengan niat aku ini. Hampir sejam lebih aku ambil untuk memikirkan sama ada perlu atau tidak aku membeli sebuku roti untuk puding tersebut. Kalau nak diikutkan, murah sahaja harga sebuku roti di sini. Lebih kurang 1 aud sahaja. Paling mahal pun 3 aud. Tapi aku tak pasti apa yang menghalang aku untuk terus membeli bahan tersebut. Akhirnya aku mengambil keputusan atas niat aku untuk memberi teman serumah aku makan bersama dan merasai hasil masakan aku nanti. Itu sahaja niat yang aku letakkan sewaktu membeli sebuku roti tersebut. 

Nak dijadikan cerita, hari ini setelah selesai menguruskan iftar di universiti, aku terus ke masjid untuk menghantar semula tikar yang dipinjam untuk program di universiti. Aku lihat tukang masak tetap masjid Newcastle (brother Kamal) masih lagi di situ mengemas segala periuk belanga lebihan berbuka petang tadi. Aku pun bertegur sapa dan bersembang tentang hari raya yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Kemudian beliau lenyap ke dalam ruang masjid. Tiba-tiba aku terdengar sayup suara memanggil namaku (Muhamad, nama kebiasaan yang digunakan untuk memangil hampir kesemua budak Malaysia di sini) dari dalam ruang masjid. Aku bergegas menuju ke arah suara tersebut. Apa yang aku lihat memang memeranjatkan aku. Memang rasa sangat tersentuh dengan apa yang berlaku. Di hadapan aku ada hampir 10 buku roti yang masih baru dan masih belum disentuh oleh sesiapa. Kata brother Kamal, roti ini memang untuk diberikan kepada orang ramai. Dan kerana ramai yang tidak mampu lagi menghabiskan roti tersebut waktu berbuka tadi, maka beliau menawarkan kepada aku kesemua roti tersebut dan menyuruhku mengambil kesemuanya tanpa meninggalkan satu buku roti sekalipun. 

Bagi diriku ini sememangnya rezeki Allah. Kerana atas niatku untuk memberi makan teman serumahku, maka Allah tambahkan rezeki aku hari ini. Dan aku memang sudah lama yakin bahawa rezeki Allah ini ada di mana- mana dan datang dalam pelbagai bentuk. Dan atas kesedaran ini jugalah aku langsung tidak lokek untuk memberi tatkala mempunyai.

Pengajarannya, jangan lokek langsung untuk memberi. 
Analogi mudah berdasarkan situasi ini ialah, aku beri satu buku roti untuk santapan teman serumah, tapi Allah murahkan rezeki aku dengan 10 buku roti percuma.
Semoga bermanfaat.

No comments:

Post a Comment