Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 16 September 2013

MYSUN: Antara amanah dan bahana

Salam,

Pertama sekali aku ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa MYSUN atas usaha dan dedikasi mereka untuk memastikan Malam Kebudayaan Malaysia 2013 menjadi realiti.


Nukilan ini aku garapkan sebagai 'post-mortem' diri aku sendiri selaku Naib Pengerusi MYSUN. Jauh sekali di hatiku untuk menyebelahi atau mendiskriminasi mana-mana pihak, sebaliknya nukilan ini memang tulus datang dari hati aku sendiri.

Mengapa MYSUN?
Aku mulakan 'post-mortem' ini dengan menjelaskan penglibatan aku dalam MYSUN pada tahun ini. Perkara pokok yang ingin aku nyatakan ialah, aku ini gemar menjadi 'pencetus perubahan' atau 'reformasi'. Melihatkan kepada ramai kalangan pelajar di sini yang kurang berpuas hati dengan pembawaan MYSUN, maka aku mengambil keputusan untuk masuk sebagai ahli jawatankuasa. Dengan harapan, segala ketidakpuasan hati pelbagai pihak itu dapat aku terjemahkan sebagai satu perubahan baru yang dapat meningkatkan lagi kualiti dan reputasi MYSUN selaku wajah dan imej Malaysia di Newcastle.



Perubahan?
Saban tahun pelbagai cerita aku dengar daripada pelbagai pihak. Aku terima dan catat segala teguran daripada pelbagai pihak ini supaya kelak, apabila kuasa dan jawatan berada di tanganku, suatu perubahan dapat aku jelmakan. Tapi anda harus ingat! Sesuatu perubahan tidak boleh dilakukan secara terlampau drastik dan tidak boleh terlampau perlahan.
Berdasarkan apa yang aku dengar, (tolong betulkan jikalau ada kekhilafan pada fakta ini) pernah terjadi satu peristiwa yang benar-benar meruntuhkan kepercayaan orang ramai pada MYSUN. Bermula saat itu, MYSUN mula hilang pengaruh dan sokongan. Salah siapa semua ini?!!.
Aku pecahkan kepada dua: 
  • Pertama, sudah semestinya kesilapan pemimpin ketika itu. Betapa beliau berani dan tidak peka terhadap sensitiviti semua pihak dengan membawa masuk elemen-elemen sebegitu.
  • Kedua, aku letakkan juga kesalahan ini pada komuniti yang ada pada ketika itu. Kerana kita yang mempunyai kuasa untuk memilih pemimpin kita. Kenapa biarkan pemimpin sebegitu rupa merajai komuniti kita dengan perkara-perkara yang jauh dari apa yang kita inginkan.

Maka, mengambil kira segala kejadian yang pernah berlaku ini, aku berazam untuk tidak lagi mengulangi semua ini. Dengan cara, aku pastikan aku ada kuasa untuk mengatakan TIDAK pada setiap perkara yang aku dan majoriti tidak setujui.

Bagaimana MYSUN sekarang?
Aku dapat katakan begini. Bermula daripada tampuk pemerintahan lepas (yakni sebelum Pengerusi sekarang memegang jawatan), aku dapat rasakan perubahan yang cuba dilakukan. Tahniah kepada Mantan Pengerusi MYSUN. Walaupun tidak begitu major pada mata sesetengah pihak, tapi beliau layak menerima tabik hormat atas keberanian dan kesediaan beliau untuk memenuhi kehendak semua pihak.
Bagaimana dengan sekarang?
Sebagai orang dalam, biar aku dedahkan apa yang berlaku dalam pentadbiran MYSUN sekarang.
Pertama, perlantikan "Mr. A" sebagai pengerusi adalah merupakan satu langkah yang bijak. Sebagai seorang yang mengenali beliau hampir 4 tahun, pernah semeja dengan beliau sewaktu di kolej dan berada dalam tahun yang sama di Newcastle, aku memang kenal amat dengan karakter dan pembawaan beliau. Minggu pertama kami mendapat jawatan dalam MYSUN, aku dipanggil oleh beliau dan kami duduk berbincang selama hampir 5 jam. Apa intipati perbincangan kami? Tidak lain tidak, bagaimana kami mahu jadikan warga Malaysia di sini lebih bersatu, bagaiman kami boleh memastikan segala ketidakpuasaan hati didengari dan diambil tindakan dan bagaimana kami boleh memastikan setiap warga Malaysia rasa bangga menjadi Malaysia biarpun berada di tanah air orang lain.
Malah banyak lagi perkara picisan yang turut kami bincangkan. Ini menunjukkan betapa Mr.A adalah seorang yang proaktif dan mempunyai visi tersendiri.
Maka, kami mula meletakkan semua ini sebagai sasaran kami tahun ini. Kami telah mencuba beberapa mekanisme yang kami rasakan perlu. Walaupun ada satu atau dua mekanisme yang kami rasakan mustahil untuk dicapai,namun kami positif dalam menjalankannya. Mungkin tidak jelas di mata anda semua kerana mekanisme yang kami laksanakan ini kebanyakkannya bersifat akar umbi. Sebagai contoh, peraturan kelab, penglibatan "Malaysia tulen" atau "pure Malaysian" dalam ahli jawatankuasa, penetapan aktiviti dan beberapa garis panduan setiap aktiviti. Tujuan kami ialah, biarpun berubah tampuk kepimpinan, namun garis panduan itu adalah tetap dan tidak boleh disangkal lagi. Kerana garis panduan itu adalah yang akan menjadikan MYSUN lebih Malaysia.

Berjayakah kami?
Mari kita sama-sama perincikan.

Pertama, ahli jawatankuasa.
Seawal perlantikan dibuat, "Mr.A" sudah menghubungi beberapa orang Malaysia yang berkaliber untuk dipanggil memegang portfolio dalam MYSUN. Beliau sendiri yang menghubungi setiap individu yang beliau rasa layak memegang jawatan. Malah beliau juga membuka peluang kepada mana-mana Malaysia yang rasa diri mereka layak untuk bersama dalam barisan kepimpinan MYSUN 2013. Namun 'outcome' yang kami terima memang mengecewakan. Ramai benar rupanya 'jaguh kampung' dalam komuniti ini. Tidak kurang juga ramai yang 'rabung di belakang tabir, tapi kecut di hadapan khalayak'. Masa semakin suntuk. NUSA perlukan nama ahli jawatankuasa sebelum tarikh tutup penyertaan kelab tiba. Barisan kepimpinan MYSUN masih belum muncul tiba. Pada waktu itu kami cuma mempunyai "Mr.A, Mr.H, Ms.A, Mr.V, Mr.Y" sebagai ahli jawatankuasa dan juga merupakan 'pure Malaysian' seperti apa yang kami inginkan. Maka tiada jalan lain. Kami perlu mencukupkan senarai ahli jawatankuasa. Disinilah kami mula membuka peluang kepada golongan yang bukan 'pure Malaysian'. Dan akhirnya lengkaplah ahli jawatankuasa MYSUN 2013.
Namun begitu, aku bersyukur pada Allah. Kerana di pertengahan jalan, Allah membuka hati dua orang insan 'pure Malaysian' untuk datang dan menawarkan diri sebagai ahli jawatankuasa. Biarpun mengikut peraturan NUSA, bilangan ahli jawatankuasa MYSUN telahpun mencukupi, tetapi kami tetap berusaha untuk memasukkan dua orang insan ini ke dalam MYSUN atas sebab mereka adalah 'pure Malaysian' dan itu merupakan kriteria yang kami utamakan. Mereka adalah Ms. F dan Mr. J. Kemasukan mereka telah memberikan nafas baru kepada kami untuk lebih me-Malaysian-kan MYSUN dari segenap aspek.
Jadi salah siapa sekarang?  Salah kami kerana membenarkan 'orang luar' masuk, atau salah anda kerana tidak berani menampilkan diri. Mungkin alasan tidak layak boleh digunakan. Tapi kalau rasa tidak layak, jangan pula dengan sendiri melantik diri anda sebagai pengkritik belakang tabir. Tampilkan diri dan sama-sama kita kritik apa yang salah.

Kedua, garis panduan aktiviti.
Bagi mereka yang sudah dua tahun lebih berada di Newcastle, anda sudah semestinya muak dengan aktiviti yang dianjurkan MYSUN seperti "Games Night" dan lain-lain. Mengapa? Hal ini kerana, permainan yang dijalankan langsung tidak melambangkan Malaysia dan penuh dengan maksiat (kata sesetengah pihak). Sebab itulah ramai pelajar yang tidak mahu menyertai aktiviti yang dianjurkan MYSUN. Kerana bagi mereka, MYSUN tidak peka pada sensitiviti sesetengah pihak. Selaku pelajar yang sudah dua tahun di sini, memang saya setuju. Malah masalah ini bukan sahaja berlaku dalam MYSUN, sebaliknya berlaku juga dalam kebanyakan persatuan pelajar Malaysia yang lain di seluruh NSW.  
Apa pendekatan kami kali ini? Saya harus memberikan kredit kali ini kepada Mr.V selaku 'event manager'. Biarpun mengikut kepercayaan yang beliau pegang, beliau tiada masalah pada sensitiviti seperti ini. Namun beliau masih lagi peka dan proaktif dengan semua ini. Aku masih ingat sewaktu merancang aktiviti untuk "Games Night" tahun ini. Perkara yang terpacul dari mulut beliau adalah mengenai sensitiviti pergaulan lelaki dan perempuan. Itu membuktikan betapa beliau peka dengan keadaaan dan masalah sekeliling. Walaupun aku akui, aktiviti yang kami jalankan juga tidaklah begitu menarik, tetapi kami berjaya mengurangkan malah membanteras terus aktiviti yang memerlukan pergaulan rapat lelaki dan perempuan (in shaa Allah saya akan perincikan lagi mengenai isu ini dalam 'post-mortem' Malam Kebudayaan Malaysia 2013 nanti)

Ketiga, penetapan aktiviti
Sudah menjadi lumrah dan budaya masyarakat disini pada setiap majlis perlu diadakan "after party" sebagai menyambut usaha keras ahli jawatankuasa dalam menjalankan sesuatu program. MYSUN juga terkena tempias budaya itu. Namun begitu, tidak ramai yang bersetuju dengan budaya seperti ini. Ini jugalah yang menjadi salah satu faktor hilangnya kepercayaan MYSUN oleh sesetengah pihak. Maka, pihak kami mengambil langkah proaktif dengan menetapkan bahawa "after party" adalah haram mengikut peraturan baru yang kami tetapkan. Jika masih ada ahli jawatankuasa yang ingin melaksanakan "after party"(memandangkan MYSUN mempunyai ahli jawatankuasa yang bukan 'pure Malaysian"), ianya mestilah dijalankan di tempat lain daripada program tersebut diadakan dan mestilah tidak langsung mengaitkan nama MYSUN bersama dengan "after party" tersebut. Itulah garis panduan baru yang telah kami tetapkan dan dipersetujui oleh Tuan Pengerusi dan semua ahli jawatankuasa. Selain itu, alkohol dan sebarang perkara memabukkan juga dilarang tegas dalam mana-mana aktiviti di bawah seliaan MYSUN. Perkara ini juga dipersetujui oleh semua ahli jawatankuasa. 
Maka, dengan penetapan garis panduan baru inilah anda dapat lihat bahawa aktiviti MYSUN tahun ini lebih 'bersih' daripada semua anasir tersebut.

Secara kesimpulannya, dapatlah saya katakan bahawa, pihak kami selaku tampuk kepimpinan MYSUN yang baru telah sedaya upaya mencuba untuk melakukan perubahan seperti ramai pihak inginkan. Namun begitu, sokongan daripada pihak anda adalah amat kami perlukan. 
Aku rasa pelik melihat segelintir daripada kita yang takut untuk bersuara demi kemaslahatan kelab tersebut. Sedangkan itu kelab Malaysia. Dan kita ini adalah Malaysian. Sepatutnya kitalah yang menentukan arah tuju kelab tersebut tanpa membiarkan orang luar bermaharaja lela. Sebaliknya, kita pula yang takut bersuara, dan lebih rela melihat kemusnahan dilakukan dan hanya mampu menjadi 'jaguh kampung' dengan mengkritik di belakang tabir.

(Analogi mudah: MYSUN sebagai negara Malaysia. Takkan kita sanggup membiarkan orang luar memerintah negara kita sesuka hati. Sedangkan kitalah rakyat yang sepatutnya menentukan arah tuju negara kita. Seteruk mana pemimpin yang kita ada, sekurang-kurangnya dia adalah 'orang kita' yakni orang Malaysia.)
 
MYSUN adalah kelab kita selaku rakyat Malaysia. Kenapa kita sanggup melihat orang luar masuk dan menghuru-harakan kelab kita tanpa ada sekelumit rasa ingin menyelamatkan kelab ini. Jika rosak kelab ini, sudah tentu nama Malaysia yang tercalar.

Saya dengan rendah diri menyarankan agar sama-sama kita kembalikan kegemilangan kelab ini. Marilah bersama saya, kita jadikan MYSUN sebagai lambang kesatuan rakyat Malaysia di Newcastle biarpun berlainan agama, bangsa dan warna kulit.

Saya mohon maaf andai ada kesilapan fakta di sepanjang nukilan saya. Juga mohon maaf jika ada terkasar bahasa. Ini memang tulus datang dari hati.

Nantikan komentar saya mengenai Malam Kebudayaan Malaysia 2013. Saya punyai perspektif tersendiri dari kaca mata Naib Pengerusi dan anda bebas menyokong mahupun membangkang.

Sekian,
Hauzan Muttaqin
Naib Pengerusi MYSUN 2013

No comments:

Post a Comment