Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Friday, 25 April 2014

AHA ( Aliran Hati Anip)

Salam,

7 pagi aku tiba di Central Station Sydney. Perjalanan selama 12 jam dari Melbourne tidak dirasai. Mungkin kepenatan jiwa dan fizikal buatkan aku hilang dalam dunia tidur. Tiket segera dibeli untuk meneruskan perjalanan ke Newcastle buat 3 jam lagi. Menjadikan perjalanan hampir 16 jam dari Melbourne ke pintu rumah. Pengorbanan? ahh.. siapa melihat pengorbanan sekecil itu.

Selesai tugas selaku pemerhati MASA '14. Lantikan siapa jawatan ini? Aku sendiri melantik diri ini. Menjadi pemerhati utama bukan pengkritik. Kenapa memerhati sedangkan boleh menawarkan diri? Belajar. Itu kata kunci utama kepada lantikan diri aku ini. Event management adalah satu bidang yang belum aku mahir. Terutama event besar seperti MASA yang menelan belanja ratusan ribu dolar. Pasti perlukan satu janakuasa kuat bagi melaksanakannya. Bukan itu saja, pengalaman dan kemahiran yang kritis amat perlu bagi melancarkan segala yang dirancang. Tugas selaku pemerhati berjaya aku laksanakan.

Namun ada, matlamat kecil yang turut aku letakkan sepanjang penglibatan aku dalam MASA kali ini. Meletakkan nama MYSUN di persada yang lebih tinggi, meluaskan jaringan MYSUN dan banyak lagi. Bagi aku, matlamat- matlamat ini juga berjaya dicapai. 

Bayangkan tatkala wakil University of Newcastle, Nurul Nadiah Ghazali dipanggil naik untuk mengambil anugerah. Biarpun itu usaha individu, namun nama Newcastle yang dibawa itu cukup membanggakan. 

Bayangkan juga tatkala nama MYSUN disenarai pendek dalam lima kelab terbaik seluruh Australia. Pasti meremang segala bulu saat nama MYSUN diumumkan. Semua ini satu kejayaan bagi aku dan pasukan MYSUN.

Bayangkan pabila melihat anak muda MYSUN mewakili NSW dalam sukan masing-masing. Melihat mereka bermain dengan penuh fokus demi menggapai kejuaraan. Betapa bangganya seorang pemerhati tatkala melihat anak buah sendiri mewakili negeri ke peringkat kebangsaan. Malah ada yang mencapai kejayaan tempat pertama dan kedua. Bermula daripada hanya sebuah kelab kampung (MYSUN) kepada kejayaan melahirkan beberapa atlet muda mewakili negeri. Ini semua satu kejayaan bagi seorang pemerhati.

Aku bangga. Bukan dengan diriku. Tapi dengan komitmen mereka. Siapa mereka? Mereka adalah yang sentiasa memberi semangat, yang sentiasa memberi sokongan, yang sentiasa pandang kehadapan, yang sentiasa positif, yang sentiasa tahu erti kebaikan. Tanpa ada rungutan reimbursement, tanpa ada teriakan minta balasan, tanpa ada ugutan hadiah sebagai balasan. Mereka ini berjiwa besar. Mereka ini tulus hati, Mereka ini pejuang sejati. Mereka ini pengganti pemimpin suatu hari nanti.

Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih semua...

#MASA14 #MYSUN

No comments:

Post a Comment