Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Wednesday, 28 May 2014

Capibility beyond ability

Salam,

Terkadang kita selalu letak kayu ukur diri kita pada manusia lain. Sedangkan kita tak sedar bahawa setiap orang tak punyai kemampuan yang sama seperti kita.

Maka semakin banyak kita kenal dan perhatikan manusia, semakin kita sedar bahawa sebenarnya kita perlu hargai kebolehan diri individu tersebut. Jangan pernah minta individu itu lakukan apa yang dia tak mampu lakukan. Kerana dia hanya akan kecewakan harapan yang kita letakkan padanya.

Benar, kadang-kadang kita perlu cabar diri seseorang untuk lakukan sesuatu kerana kita yakin dia ada potensi ataupun kita memang nak dia lakukan sebegitu. Tapi jangan lupa, seseorang itu mungkin sudah 20 atau 23 tahun hidup dalam keadaan diri yang sebegitu. Tak pernah cuba lakukan sesuatu yang luar dari kebolehan diri. Dan mungkin tak pernah sedar pun bahawa dia punyai kebolehan lain.

Mungkin cara terbaik kalau kita nak juga paksa seseorang untuk mencabar dirinya melakukan sesuatu yang kita nak dia lakukan adalah dengan memberi panduan atau pertolongan yang baik. Supaya individu tersebut tidak sangkut di tengah jalan atau hilang punca tatkala melakukan sesuatu.

Dengan adanya pertolongan seperti itu, barulah mereka akan rasa dibantu dan ada semangat untuk cuba mencabar diri mereka. Kalau tidak, mereka hanya akan teruskan kerja mengikut apa yang mereka mampu lakukan dan mereka tahu lakukan.

#refleksidiri
#nukilandimalamhari

2/10 Faulkner Crescent
12:16am
29th May 2014

Saturday, 17 May 2014

Apa lagi kau tunggu?

Salam,

Kuliah pertama anjuran Islamic Society bermula semalam. Kehadiran memuaskan, namun langsung tak mencerminkan bilangan pelajar Muslim di universiti. Wajah melayu nusantara memenuhi ruang bilik. Ada satu dua wajah Pak Arab. Bahkan pemilik suara yang sebelum ini asyik benar bertanya mengenai aktiviti Islamic Society tahun ini juga tidak nampak. Mungkin hanya menghantar wakil. Biar apa jua sambutan yang diterima, niat baik ini harus diteruskan.

Sebagai permulaan, Imam membicarakan hal niat sebagai tajuk utama. Biarpun dah berpuluh kali dengar hadith ini, dah berpuluh bulatan usrah membincangkan hadith ini namun tetap besar pengajarannya.

Usai menyampaikan intisari hadith tersebut, imam membuka laluan kepada sesiapa yang mahu bertanyakan soalan. Aku bingkas mengangkat tangan. Dua soalan aku utarakan. Jawapan kepada soalan kedua aku ternyata memberi kesan yang mendalam buatku. Soalan aku berbunyi begini, "Adakah melawan nafsu itu dikira sebagai jihad?." Imam menjawab soalan aku dengan memberikan sepotong lagi hadith yang menyatakan perihal melawan nafsu. Dan ternyata ianya dikira sebagai salah satu 'struggle' manusia dan diberi ganjaran kepada siapa yang berjaya melawannya.

Di akhir jawapan tersebut, Imam memberikan sedikit pendapat peribadi. Kata beliau, siapa yang dapat meninggalkan perkara buruk yang dia selalu lakukan, sebenarnya dialah orang yang paling berjaya dan ganjaran Allah adalah pasti kepada golongan ini.

Nah! Tepat ke dada.

Beliau meneruskan lagi dengan menasihati semua untuk tidak terburu-buru dalam melakukan perubahan. Kata beliau, lakukanlah perubahan itu dengan perlahan-lahan agar perubahan itu kekal lama. Jangan terlalu drastik sampai segalanya hanyalah bersifat sementara. Kata beliau lagi, tindakan memaksa diri untuk melakukan sesuatu adalah tidak digalakkan. Kerana bimbang perlakuan kita itu hanyalah suatu desakan diri bukan kerana kehendak hati.

Apa lagi yang kita tunggu? Tak cukup lagikah petanda yang Allah berikan kepada umat manusia. Manusia semakin sakit. Sakit sosial yang kian parah. Mari kembali pada ketetapan Allah. Moga sembuh segala sakit itu.

#unislecture #unis



Thursday, 15 May 2014

Meet You Halfway

Salam,

Suatu hari kau pasti akan bersedih.
Pabila kau ingat kembali masa lalu.
Setelah apa yang kau lakukan.
Segalanya hanya separuh jalan.
Bukan kerana mahu menyeksa.
Tapi kerana diri terpaksa.

Terkadang aku tak sanggup.
Terkadang aku kasihan.
Realiti bakal menjelma.
Segalanya bakal ditentukan.

Jika ditanya diri ini.
Mahu sahaja aku teruskan.
Mahu saja aku cipta dunia kita.
Agar bebas buat apa saja.
Mahu saja aku ukir corak kita.
Agar bebas bergaya dengannya.
Malang, ianya tak semudah yang disangka.

Terima kasih atas perkenalan singkat yang banyak memberi makna.

#bingkisanmalamhari

2/10 Faulkner Crescent
16 May 2014
2.33 pagi

Tuesday, 13 May 2014

Terjemahan Hati

Salam,

Jika ditanya apa ada dalam hati aku sekarang, lagu di bawah ini menceritakan segalanya. Hidup sebagai hamba Allah di bumi asing ini buatkan aku rasa sedikit jauh dengan pencipta. Walau bagaimanpun , aku masih meneruskan usaha untuk mendekatkan jarak yang timbul. Supaya aku dapat menjadi hamba Allah yang sentiasa dekat dengan Nya biarpun di mana sahaja aku berada.




#hambaAllah

Tamparan wanita?



Pernah aku alami apa yang dinukilkan.
Rasa dilema mencengkam dada sehingga amat susah membuat keputusan. 
Seperti biasa, Maha Pencipta dan Maha Berkuasa menjadi pilihan.
Namun keadaan tak semudah yang dituliskan.
Kerana aku hanya seorang insan.

Aku faham apa yang cuba dimaksudkan.
Biar sinis, tapi penuh dengan pesanan.
Supaya setiap manusia tidak disia-siakan.
Namun perlu diingat, aku juga seorang insan.

Jangan pernah rasa selamat biarpun sudah mempunyai.
Kerana yang dipunyai belum tentu kekal atau lari.
Apa yang penting, jagalah dengan teliti.
Agar kelak tidak menyesal lagi.

#notetoself #goodadvise

Monday, 12 May 2014

Berguru pada yang 'Ahli'


Medical Conference Proposal Review by MASCA NSW 

Pendokong utama kepada 1st Medical Student Conference in Australia. In shaa Allah, doakan segalanya berjalan lancar. Semoga lebih ramai yang akan menawarkan diri menyertai pasukan ini. Lagi ramai tenaga kerja lagi bagus.

Belajar banyak perkara daripada MASCA. Antaranya ialah perkara pokok dalam melaksanakan sesuatu program. Program ini sedikit sebanyak membantu menyusun idea yang berselerak kepada sususan dan garapan idea yang lebih mantap dan berguna.








Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MASCA NSW atas kesudiaan hadir. Terima kasih juga diatas segala nasihat dan bantuan yang diberikan. Semoga jalinan ini tidak terhenti di sini sahaja.
Ucapan terima kasih juga saya hulurkan kepada Fakarul Azim, atas usaha belia menyiapkan kertas kerja bagi program ini sejak awal perancangan program sehinggalah lengkap segalanya.
Juga tidak dilupakan kepada semua yang terlibat dan bakal terlibat dalam program ini.

#medcon #mascansw #mysun

Thursday, 8 May 2014

Tiada kata...

Salam,



Tiada kata yang dapat mengungkapkan betapa gembiranya hati ini tatkala melihat senyuman lebar terukir di bibir emak sendiri sewaktu menerima jambangan bunga kiriman aku. Hari ini hari penting buat dirinya. Hari yang sentiasa dinantikan oleh kami sekeluarga. Biarpun keluarga kami bukanlah jenis menyambut hari lahir dengan sambutan melampau, tetapi sambutan berbentuk kekeluargaan itu sentiasa kami laksanakan demi mengeratkan lagi hubungan sedia ada.

Sungguh, jambangan bunga semata-mata tidak mampu membalas segala jasa yang telah beliau curahkan padaku dan keluarga. Malah hamparan bungan sebesar saiz padang bola juga masih tidak mampu menyamai pengorbanan beliau. Tetapi niatku lebih kepada ingatan dan penghargaan yang ingin aku berikan. Biarpun tak seberapa, tapi itu tanda dia berada di hatiku.

Adik doakan mak sentiasa dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat. Teruskanlah usaha mendidik anak bangsa sepenuh jiwa raga mak sebagai seorang yang bergelar guru dan pendidik. Jasamu sangat besar terhadap pembentukan jati diri anak-anak muda. Adik doakan juga mak sentiasa dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur dalam iman. Semoga segala jerit perih usaha mak digantikan dengan pahala berlipat ganda.

Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih. Adik sayang mak.

#happybirthday #mak

Wednesday, 7 May 2014

Sampainya Hati

Salam,

Setiap rungutan yang kau suarakan pasti mendapat perhatian.
Tak pernah langsung aku abaikan.
Sakit demam sengal dan pening.
Segalanya aku layan.
Pelbagai jenis cara dan rawatan aku cadangkan.
Dengan niat kau sembuh semula.

Namun aku sedih dan kecewa.
Bila rungutan datang daripada pihak aku.
Langsung tiada respon darimu.
Membiarkan rungutan menjadi bisu.
Padahal aku tagihkan simpatimu.
Seperti mana yang aku beri selalu.

Mungkin aku sudah bukan nombor satu.
Sampainya hatimu...

#nukilandikalasendirian

2/10 Faulkner Crescent
North Lambton 2299 NSW
7 May 2014
11:09 pm

Monday, 5 May 2014

Makin hari makin sayang?

Salam,

Dah masuk berbulan berkenalan. Memang dah banyak perkara yang berjaya diluahkan bersama. Namun jauh di sudut hati selalu saja memikirkan atas sebab apa insiden ini berlaku. 
Adakah kekosongan jiwa yang melampau buatkan masih ada keinginan untuk mengisi? 
Atau sekadar mahu bersama seseorang? 
Atau memang si dia yang ku cari? 

Tak mudah bila bermain dengan hati dan perasaan. 
Tak semudah arahan yang kau beri. 
Tak semudah pertolongan yang kau minta. 
Lebih daripada itu. Perlu penelitian rapi. Perlu kefahaman mendalam. Perlu perincian teliti.

Risau juga tempoh masa yng diluangkan hanya penipuan semata-mata. 
Penipuan yang aku reka menjadi realiti. 
Penipuan yang aku karang menjadi kisah kita.
 Penipuan yang aku zahirkan untuk kita.

Aku faham benar dengan permintaan kau. Buatlah keputusanmu. Agar aku tak teruskan penipuan ini. Tapi sayang, tak semudah yang kau sangkakan. 
Ini bukan hal membeli barangan.
 Ini lebih daripada itu. 
Ini hal sebesar hidupku.
 Ini hal setaraf nyawaku. 
Ini hal berkaitan masa depanku.

Kusut benar bila diminta buat keputusan. Andai kau ada peluang, marilah cuba kasutku. 
Biar kau rasa apa perasaannya berada pada posisiku. 

Bukan salah kau datang dalam hidupku. Itu takdir. Benar. Aku akui. 
Bukan salah kau bila keputusan dibuat dengan mendadak. Itu hak kau. Aku akui.
Bukan salah kau cepat menyesuaikan diri. Itu kelebihan kau. Aku akui.
Tapi segalanya berbalik kepada aku. 
Berbalik kepada pendirianku. 
Berbalik kepada keputusanku.
Itu yang merunsingkan.

Aku berserah. Tiap malam sujud dan doa menjadi pembantu. 
Moga segalanya Allah susun sebaiknya untuk aku, kau dan dia. 
Aku redha...

#nukilandikalasendirian
Huxley Library
4:31pm
6 May 2014

Sunday, 4 May 2014

BSANU

Salam,

Semalam berpeluang menjadi tetamu jemputan untuk majlis sambutan tahun baru bagi rakan pelajar dari Bangladesh. Menggunakan nama BSANU sebagai nama kelab, mereka ini boleh dikatakan masih baru dalam industri kelab dan persatuan di universiti ini. Ada beberapa perkara menarik perhatian yang aku rasa patut kita contohi biarpun mereka itu Bangla.

Melihatkan kepada akrabnya hubungan antara ahli kelab mereka membuatkan saya rasa malu mewakili persatuan pelajar Malaysia di sini. Bilangan tak ramai. Tapi penuh satu dewan kuliah dengan masyarakat mereka. Ada yang muslim ada juga yang bukan. Namun tiada langsung persengketaan. Semuanya mampu berganding bahu bersama menjayakan aktiviti tersebut. Malah aktiviti turut dimulakan dengan ucapan salam dan doa buat tokoh pelajar mereka yang telah kembali ke rahmatullah tahun lepas walaupun yang hadir itu bukan semuanya Muslim.

Saya rasa kunci kepada kekuatan sebuah komuniti itu bukanlah pada bilangan. Badan pelajar di sini (NUSA) sering saja mengagungkan persatuan pelajar Malaysia sebagai yang paling ramai ahli dan paling aktif. Namun sayang segalanya hanyalah fantasi yang direka sahaja. Sambutan? Malang sekali. Penglibatan? Amat mengecewakan. Adat orang kita, lantang di balik tabir, kecut di khalayak ramai. Sering sahaja dengar rungutan tidak bersesuaian dengan prinsip hidup masing-masing. Namun pabila diberi peluang mengubah atau diberi mandat mengetuai, hanya alasan yang mampu diberi. Kemudian balik semula kepada asal diri, mengkritik segala yang terjadi.

Satu perkara aku belajar di sini. Apabila kita sedar ada sesuatu perkara yang tidak enak terjadi dan kita rasa tidak puas hati, maka suarakanlah. Berjuanglah atas apa yang kita rasakan benar itu dengan alasan yang kukuh dan cara yang betul. Dan apabila ada peluang untuk melakukan perubahan, ambillah. Lakukan perubahan. Tunjukkan bagaimana ianya patut dilakukan. Itu cara yang betul sebenarnya.

Seperti apa yang dibuktikan oleh BSANU. Bilangan mereka jauh lebih sedikit daripada bilangan ahli kelab lain. Tetapi mereka ada kualiti. Mereka sedar itu kelab atas nama negara mereka. Imej negara mereka. Maka mereka sanjung dan mereka jaga. 

Bangunlah wahai komunitiku. Buang jauh-jauh persengketaan yang lalu. Mari sama-sama kita bersatu. Agar komuniti kita lebih maju. Biar lain pada pemikiran, tapi hati tetap satu. Tampillah ke hadapan selalu. Suarakan ketidakpuasan hatimu. Lakukan perubahan pada hidupmu. Kerana inilah lambang negaramu

#bangladesh #melayulayu

Friday, 2 May 2014

Wujudkah kemarahan tanpa keganasan?

Salam,

Sabtu pagi. Bangun awal. Siapkan diri. Hari ini hari penting. Hari penuh kemarahan. Hari penuh kebencian.
Tepat jam 10 pagi tiba di Stesen Keretapi Hamilton. Suasana penuh dengan manusia. Pelbagai kain rentang. Pelbagai warna. Mewakili parti masing-masing. Tidak senada pada fizikal, tapi sebulat suara pada agenda dan matlamat. Membantah pemotongan budget pada kebanyakan aspek. Aku mewakili badan universiti. Membantah pemotongan budget dalam sektor pendidikan. Jika pelajar tempatan merasai keperitannya, apatah lagi kami. Ditambah dengan bebanan kos bayaran yuran pengajian yang mencanak bagi pelajar antarabangsa.
Pasukan pancaragam mengetuai barisan. Laungan bantahan dimulakan. Masing-masing ada teriakan tersendiri. Mesej tetap sama biar bait kata berbeza. Membantah pengurangan budget pada setiap sektor. Namun aku hairan. Ada yang kekurangan. Ada perkara yang tiada. Ah, keganasan melampau. Itu yang ku cari. Kerana dibesarkan di negara yang amat faham erti 'perhimpunan aman', aku tahu apa elemen yang kurang pada perhimpunan aman. Segalanya serba tak kena bagi aku. Kerana perhimpunan kali ini bak perarakan kemerdekaan. Penuh tertib.Penuh adab.Penuh kesantunan.

Biar hati menggelegak marah. Biar perasaan lemas dalam lautan kebencian. Namun etika berhimpun, etika bantahan masih terjaga rapi. Tiada langsung keganasan. Tiada kata-kata lucah dihambur. Tiada kata nista ditabur. Apa yang ada hanyalah teriakan tidak puas hati dan mohon diberi perhatian.

Polis? Ada. Siap sedia mengawal keadaan. Namun apa yang hanya dilakukan pihak berkuasa hanyalah mengawal lalu lintas. Tidak langsung membawa perisai 'Capten America' mahupun senapang pemedih mata. Segalanya tampak lancar. Bagai perhimpunan menyambut Maulidul Rasul.

Peserta perhimpunan semuanya jelas dengan mesej perhimpunan. Tidak ada yang ragu-ragu dengan tujuan. Tidak ada yang kelam dengan matlamat berhimpun.

Masa yang diambil hanyalah 45 minit. Berarak di jalan besar. Berkumpul di padang. Mendengar ucapan daripada yang tidak puas hati. Bersurai. Wah, begitu mudah? Di mana kemarahan mereka? Apa tidak cukup marahkah mereka sehingga tiada keganasan dijelmakan?

Indah sungguh jika manusia itu tahu erti tamadun. Tahu tertib menyuarakan pendapat. Tahu adab dan etika. Biar apa orang lain lakukan. Tapi kita selaku yang bertamadun, berpeganglah pada adab dan etika. Malah agama kita juga penuh dengan kesantunan. Jangan dek kerana marah, segalanya diketepikan.

Ini hanyalah perkongsian pengalaman aku sebagai yang baru menceburkan diri dalam bidang perhimpunan aman.



Bersama nukilan ini aku sertakan rakaman video pendek untuk menunjukkan suasana perhimpunan. Aku sedar ini pada skala kecil. Namun skala manusia yang hadir bukan alasan untuk bersikap ganas. Bertamadunlah sahabatku...

#MayDay #perhimpunanaman

Indahnya Bercakap Benar

Salam,

Alhamdulillah, hari ini aku selesai membantu sahabatku melaksanakan satu perjanjian jual beli. Proses muamalat ini memang amat merumitkan memandangkan ia melibatkan jumlah wang yang besar.

Namun apa yang menarik perhatian aku adalah sikap yang ditunjukkan oleh kedua-dua belah pihak. Si penjual cuba sedaya upaya meyakinkan si pembeli tetapi tidak langsung cuba menyembunyikan atau membuat cerita baru bagi meyakinkan pembeli. Sebaliknya menggunakan mekanisma jujur dan bercakap benar sebagai senjata. Si pembeli pula cuba sedaya upaya mengumpul maklumat tentang produk tersebut dengan harapan si penjual tidak menipu dan membuat cerita baru.

Di akhir proses tersebut, si pembeli bersetuju dengan tawaran yang dilakukan. Bila ditanyakan kembali mengapa bersetuju sedangkan ada keluhan kecil sebelum membuat keputusan. Kata beliau, "Aku tersentuh dengan kejujuran yang dia tunjukkan". 

MashaAllah... betapa kuatnya kuasa jujur itu. Impaknya teramat besar. Mampu mengubah fikiran dan keputusan seseorang. 

Kesimpulannya, berlaku jujurlah dan bercakaplah yang benar-benar saja. Walaupun terkadang kebenaran itu menyakitkan. Aku belajar sesuatu hari ini... Alhamdulillah

#jujur #lessonlearnt

Thursday, 1 May 2014

Med Con

Salam
Dalam satu pasukan perlu sangat ada ahli pasukan yang sentiasa berada pada muka surat yang sama dengan kita. Bukan apa, memudahkan. Terutama sekali pada waktu dan ketika otak kita tak mampu nak memproses banyak perkara pada satu-satu masa.

Bukan itu sahaja. Malah kita akan rasa senang hati apabila segala yang kita rancang berjalan lancar. Dan segala penjelasan kita difahami mereka satu per satu.

Tak senang nak ada rakan sekerja yang sebegitu. Tetapi pabila dah ada, hargailah dan hormatilah mereka. Kerana mereka sentiasa membantu memudahkan anda. 

Dan balaslah usaha mereka untuk memahami kita itu dengan satu ruang masa dan perhatian untuk mereka tatkala mereka memerlukan kita.

Terima kasih, Terima kasih, Terima kasih

#himpunanmerah #medcon