Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Saturday, 17 May 2014

Apa lagi kau tunggu?

Salam,

Kuliah pertama anjuran Islamic Society bermula semalam. Kehadiran memuaskan, namun langsung tak mencerminkan bilangan pelajar Muslim di universiti. Wajah melayu nusantara memenuhi ruang bilik. Ada satu dua wajah Pak Arab. Bahkan pemilik suara yang sebelum ini asyik benar bertanya mengenai aktiviti Islamic Society tahun ini juga tidak nampak. Mungkin hanya menghantar wakil. Biar apa jua sambutan yang diterima, niat baik ini harus diteruskan.

Sebagai permulaan, Imam membicarakan hal niat sebagai tajuk utama. Biarpun dah berpuluh kali dengar hadith ini, dah berpuluh bulatan usrah membincangkan hadith ini namun tetap besar pengajarannya.

Usai menyampaikan intisari hadith tersebut, imam membuka laluan kepada sesiapa yang mahu bertanyakan soalan. Aku bingkas mengangkat tangan. Dua soalan aku utarakan. Jawapan kepada soalan kedua aku ternyata memberi kesan yang mendalam buatku. Soalan aku berbunyi begini, "Adakah melawan nafsu itu dikira sebagai jihad?." Imam menjawab soalan aku dengan memberikan sepotong lagi hadith yang menyatakan perihal melawan nafsu. Dan ternyata ianya dikira sebagai salah satu 'struggle' manusia dan diberi ganjaran kepada siapa yang berjaya melawannya.

Di akhir jawapan tersebut, Imam memberikan sedikit pendapat peribadi. Kata beliau, siapa yang dapat meninggalkan perkara buruk yang dia selalu lakukan, sebenarnya dialah orang yang paling berjaya dan ganjaran Allah adalah pasti kepada golongan ini.

Nah! Tepat ke dada.

Beliau meneruskan lagi dengan menasihati semua untuk tidak terburu-buru dalam melakukan perubahan. Kata beliau, lakukanlah perubahan itu dengan perlahan-lahan agar perubahan itu kekal lama. Jangan terlalu drastik sampai segalanya hanyalah bersifat sementara. Kata beliau lagi, tindakan memaksa diri untuk melakukan sesuatu adalah tidak digalakkan. Kerana bimbang perlakuan kita itu hanyalah suatu desakan diri bukan kerana kehendak hati.

Apa lagi yang kita tunggu? Tak cukup lagikah petanda yang Allah berikan kepada umat manusia. Manusia semakin sakit. Sakit sosial yang kian parah. Mari kembali pada ketetapan Allah. Moga sembuh segala sakit itu.

#unislecture #unis



No comments:

Post a Comment