Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Sunday, 4 May 2014

BSANU

Salam,

Semalam berpeluang menjadi tetamu jemputan untuk majlis sambutan tahun baru bagi rakan pelajar dari Bangladesh. Menggunakan nama BSANU sebagai nama kelab, mereka ini boleh dikatakan masih baru dalam industri kelab dan persatuan di universiti ini. Ada beberapa perkara menarik perhatian yang aku rasa patut kita contohi biarpun mereka itu Bangla.

Melihatkan kepada akrabnya hubungan antara ahli kelab mereka membuatkan saya rasa malu mewakili persatuan pelajar Malaysia di sini. Bilangan tak ramai. Tapi penuh satu dewan kuliah dengan masyarakat mereka. Ada yang muslim ada juga yang bukan. Namun tiada langsung persengketaan. Semuanya mampu berganding bahu bersama menjayakan aktiviti tersebut. Malah aktiviti turut dimulakan dengan ucapan salam dan doa buat tokoh pelajar mereka yang telah kembali ke rahmatullah tahun lepas walaupun yang hadir itu bukan semuanya Muslim.

Saya rasa kunci kepada kekuatan sebuah komuniti itu bukanlah pada bilangan. Badan pelajar di sini (NUSA) sering saja mengagungkan persatuan pelajar Malaysia sebagai yang paling ramai ahli dan paling aktif. Namun sayang segalanya hanyalah fantasi yang direka sahaja. Sambutan? Malang sekali. Penglibatan? Amat mengecewakan. Adat orang kita, lantang di balik tabir, kecut di khalayak ramai. Sering sahaja dengar rungutan tidak bersesuaian dengan prinsip hidup masing-masing. Namun pabila diberi peluang mengubah atau diberi mandat mengetuai, hanya alasan yang mampu diberi. Kemudian balik semula kepada asal diri, mengkritik segala yang terjadi.

Satu perkara aku belajar di sini. Apabila kita sedar ada sesuatu perkara yang tidak enak terjadi dan kita rasa tidak puas hati, maka suarakanlah. Berjuanglah atas apa yang kita rasakan benar itu dengan alasan yang kukuh dan cara yang betul. Dan apabila ada peluang untuk melakukan perubahan, ambillah. Lakukan perubahan. Tunjukkan bagaimana ianya patut dilakukan. Itu cara yang betul sebenarnya.

Seperti apa yang dibuktikan oleh BSANU. Bilangan mereka jauh lebih sedikit daripada bilangan ahli kelab lain. Tetapi mereka ada kualiti. Mereka sedar itu kelab atas nama negara mereka. Imej negara mereka. Maka mereka sanjung dan mereka jaga. 

Bangunlah wahai komunitiku. Buang jauh-jauh persengketaan yang lalu. Mari sama-sama kita bersatu. Agar komuniti kita lebih maju. Biar lain pada pemikiran, tapi hati tetap satu. Tampillah ke hadapan selalu. Suarakan ketidakpuasan hatimu. Lakukan perubahan pada hidupmu. Kerana inilah lambang negaramu

#bangladesh #melayulayu

No comments:

Post a Comment