Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Friday, 2 May 2014

Wujudkah kemarahan tanpa keganasan?

Salam,

Sabtu pagi. Bangun awal. Siapkan diri. Hari ini hari penting. Hari penuh kemarahan. Hari penuh kebencian.
Tepat jam 10 pagi tiba di Stesen Keretapi Hamilton. Suasana penuh dengan manusia. Pelbagai kain rentang. Pelbagai warna. Mewakili parti masing-masing. Tidak senada pada fizikal, tapi sebulat suara pada agenda dan matlamat. Membantah pemotongan budget pada kebanyakan aspek. Aku mewakili badan universiti. Membantah pemotongan budget dalam sektor pendidikan. Jika pelajar tempatan merasai keperitannya, apatah lagi kami. Ditambah dengan bebanan kos bayaran yuran pengajian yang mencanak bagi pelajar antarabangsa.
Pasukan pancaragam mengetuai barisan. Laungan bantahan dimulakan. Masing-masing ada teriakan tersendiri. Mesej tetap sama biar bait kata berbeza. Membantah pengurangan budget pada setiap sektor. Namun aku hairan. Ada yang kekurangan. Ada perkara yang tiada. Ah, keganasan melampau. Itu yang ku cari. Kerana dibesarkan di negara yang amat faham erti 'perhimpunan aman', aku tahu apa elemen yang kurang pada perhimpunan aman. Segalanya serba tak kena bagi aku. Kerana perhimpunan kali ini bak perarakan kemerdekaan. Penuh tertib.Penuh adab.Penuh kesantunan.

Biar hati menggelegak marah. Biar perasaan lemas dalam lautan kebencian. Namun etika berhimpun, etika bantahan masih terjaga rapi. Tiada langsung keganasan. Tiada kata-kata lucah dihambur. Tiada kata nista ditabur. Apa yang ada hanyalah teriakan tidak puas hati dan mohon diberi perhatian.

Polis? Ada. Siap sedia mengawal keadaan. Namun apa yang hanya dilakukan pihak berkuasa hanyalah mengawal lalu lintas. Tidak langsung membawa perisai 'Capten America' mahupun senapang pemedih mata. Segalanya tampak lancar. Bagai perhimpunan menyambut Maulidul Rasul.

Peserta perhimpunan semuanya jelas dengan mesej perhimpunan. Tidak ada yang ragu-ragu dengan tujuan. Tidak ada yang kelam dengan matlamat berhimpun.

Masa yang diambil hanyalah 45 minit. Berarak di jalan besar. Berkumpul di padang. Mendengar ucapan daripada yang tidak puas hati. Bersurai. Wah, begitu mudah? Di mana kemarahan mereka? Apa tidak cukup marahkah mereka sehingga tiada keganasan dijelmakan?

Indah sungguh jika manusia itu tahu erti tamadun. Tahu tertib menyuarakan pendapat. Tahu adab dan etika. Biar apa orang lain lakukan. Tapi kita selaku yang bertamadun, berpeganglah pada adab dan etika. Malah agama kita juga penuh dengan kesantunan. Jangan dek kerana marah, segalanya diketepikan.

Ini hanyalah perkongsian pengalaman aku sebagai yang baru menceburkan diri dalam bidang perhimpunan aman.



Bersama nukilan ini aku sertakan rakaman video pendek untuk menunjukkan suasana perhimpunan. Aku sedar ini pada skala kecil. Namun skala manusia yang hadir bukan alasan untuk bersikap ganas. Bertamadunlah sahabatku...

#MayDay #perhimpunanaman

No comments:

Post a Comment