Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 29 December 2014

PATI

Salam,

Sekembalinya di negara sendiri memang pelbagai perubahan baru disaksikan. Ada perubahan yang mengukir senyuman di bibir tanda puas hati dengan pembangunan negara, dan ada juga perubahan yang mengundang kerut di dahi. Namun begitu, seperkara yang menarik perhatian adalah peningkatan warga asing di negara kita. Bukan sebagai pelancong. Tapi sebagai mastautin tetap negara ini.

Sejujurnya, aku tiada masalah dengan imigran mahupun emigran. Disebabkan status aku juga pendatang di negara orang. Hal ini sangatlah positif kepada negara dari segi pertukaran budaya dan peningkatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, aku sangat menyarankan kerajaan dan pihak berkuasa mengehadkan atau mengetatkan syarat-syarat kepada imigran ini. Disebabkan makin hari, makin bertambah bilangan mereka baik yang halal mahupun yang haram. Sama ada tingkatkan kekerapan penguatkuasaan atau cegah dari peringkat awal, itu aku tak pasti yang mana mekanisme terbaik. Tapi saban hari memang menampakkan semakin serius pertambahan yang berlaku.

Dan ini pula pesanan ikhlas kepada semua imigran. Memang kita sebagai imigran ada hak di negara orang. Kerana datangnya kita ke negara orang itu pastinya ada tujuan (belajar atau bekerja). Dan sudah semestinya sesebuah negara itu dipilih disebabkan kestabilan dan kepakaran yang ada berbanding negara kita sendiri (dalam konteks ini Malaysia). Benar, kita boleh perjuangkan hak kita sebagai imigran yang menyumbangkan bahagian dalam tukaran mata wang dan peningkatan ekonomi. Namun begitu, hak itu tidak langsung memadamkan hakikat bahawa itu negara orang dan tidak sekali-kali pernah menjadi negara kita sendiri (lain kesnya bagi 'permanent resident'). Maka kita juga perlu menghormati hak rakyat asal negara tersebut. Kerana ini negara mereka dan hak mereka jauh lebih luas berbanding hak kita. Jaga perilaku dan adab di negara orang. Berbuat baiklah pada rakyat negara tersebut. Anda pasti akan dihormati. Jangan sesekali melayan negara ini seperti negara asal anda, kerana norma dan peraturan hidupnya mungkin berbeza.

Nukilan ini hasil daripada pemerhatian penulis sendiri di sebuah pasaraya membeli belah yang telah 'ditawan' oleh rakyat asing. Dengan adegan mengurat anak dara melayunya, dengan kurang hormat pada warga asal negara ini dan layanan seperti mereka pula pemilik negara ini memang benar-benar menimbulkan rasa kurang senang. Namun begitu, penulis sedar yang kejadian yang berlaku tidak mewakili keseluruhan warga asing kerana ada juga warga asing yang tinggi adab dan budi bahasanya.

Sekian,
sekadar nukilan luahan rasa.

Tuesday, 16 December 2014

Summer Escapade

Salam,
Alhamdulillah selamat tiba di Malaysia. Hampir dua minggu berkelana menikmati keindahan bumi Australia. Menghabiskan sisa-sisa negeri yang belum dilawati dalam Australia. Berakhirlah sudah percutian yang bagi diriku dianggap sebagai 'best trip ever'. Sebab utama ialah persediaan rapi yang dibuat oleh pengelola rombongan dan percutian yang sangat santai tanpa sebarang perasaan terkejar-kejar. Sekalung budi kepada perancang utama rombongan ini dan juga kepada ahli rombongan yang memberikan kerjasama yang baik dari segi ketepatan masa dan komitmen.

2 Disember

Berangkat ke Gold Coast dari Sydney 
Penerbangan Tigerair 
Meneruskan perjalanan dengan kereta sewa ke tempat penginapan di Broadbeach
'City tour' kelolaan sendiri
Berbasahan dengan air laut di sekitar Surfers Paradise. Biarpun pakaian tidak sesuai, tetap juga nak merasai air laut sejuk.

3 Disember

Duck tour sekitar bandar Gold Coast bersama penerangan mantap oleh orang tempatan. Menjadikan informasi yang anda terima lebih tepat.

Q1 Skypoint climb (highly recommended). Menikmati pemandangan Surfers Paradise dan kawasan sekeliling pada ketinggian 78 tingkat bangunan apartment benar-benar mengusik jiwa. Kalau anda rasa pemandangan aras laut Surfers Paradise itu sudah mencuri hati anda, cubalah pemandangan dari atas bangunan berketinggian 230 meter ini.

4 Disember

White water world. Seharian dihabiskan di sini memandangkan taman tema yang agak besar. Puas bermandi- manda biarpun hari sebelumnya sudahpun berbasahan dengan air laut

5 Disember

Dreamworld (recommended untuk yang berjiwa muda ataupun mempunyai anak kecil). Taman tema yang menyediakan pelbagai aktiviti. Sediakan tenaga yang cukup untuk berjalan beserta memori kamera yang besar untuk gambar-gambar menarik. Pelbagai karakter kartun dan 'rides' yang boleh anda cuba. Giant Drop, Buzz Saw dan pelbagai lagi yang benar-benar menguji keberanian dan kejantanan anda. 

6 Disember

Sekali lagi ke Dreamworld untuk menghabiskan masa di sana memandangkan masih ada kawasan taman tema yang belum dilawati (pas unlimited membolehkan anda masuk berkali-kali sepanjang setahun)

Meneruskan perjalanan ke Brisbane untuk pulang ke Sydney semula. 
Pengalaman tidur di lapangan terbang entah ke berapa kali semata-mata mahu memastikan penerbangan awal pagi tidak terlepas.

7 Disember

Berangkat pulang ke Sydney dengan penerbangan awal pagi.
Tiba di Sydney

8 Disember

Sydney Eye Tower Observation Deck. Pemandangan bandar padat Sydney dari atas pencakar langit. Disarankan datang pada waktu matahari terbenam untuk pemandangan cantik.

9 Disember

Blue Mountain. Bertolak awal pagi jam 5 semata-mata mahu menyaksikan pemandangan indah sekitar Blue Mountain. Pertama kali tiba di Lookout khas untuk sampai ke Wentworth Falls. 20 minit jungle trekking untuk tiba di satu dek pemerhati khas yang menghadap air terjun semula jadi. Bagai berada di satu dunia lain. Senyap, indah, hijau dan menenangkan.

Terus ke Echo Point. Tempat pemerhati yang berminat dengan lagenda Three Sisters. Sebelum pulang berhenti di Kings Tableland. Tebing gunung yang tinggi sesuai untuk mengambil gambar namun amat berbahaya memandangkan jurang gaung yang sangat dalam.

Pulang ke Sydney dan singgah di Bondi Beach sebelum menikmati hidangan makanan laut di Sydney Fish Market.

10 Disember

Pulang semula ke Newcastle untuk mengemas beg sebelum berangkat ke destinasi seterusnya

Penerbangan ke Perth jam 9 malam

11 Disember 

Tiba di Perth. Perjalanan dimulakan dengan menaiki keretapi ke Fremantle selama hampir sejam. Kawasan perikanan dan perhentian bot yang amat menarik.

12 Disember

Membeli belah! Tawaran harga yang menggugat jiwa dan dompet anda. Tambahan pula hari makin hampir dengan perayaan krismas. Sememangnya seronok berbelanja. Jangan lupa untuk pastikan jumlah perbelanjaan anda melebihi $300 dalam satu resit. Anda boleh membuat tuntutan cukai sebelum pulang ke Malaysia nanti.

Hari diteruskan dengan menonton perlawanan bola sepak antara juara bertahan Perth Glory menentang Newcastle Jets. Biarpun dikelilingi penyokong Glory, namun hati tetap pada Jets (kampung halaman). Malangnya, Jets tewas 2-0 kepada Glory

13 Disember

Melawat Curtin University. Kawasan universiti yang besar. Dirancang dengan baik. Tidak berada di dalam hutan seperti University of Newcastle.

Berhenti di sebuah gedung membeli-belah untuk menyambung aktiviti berbelanja. Jam, pinggan mangkuk, coklat, bekas makanan dan apa sahaja yang bertanda 50% dan 70% disambar masuk ke dalam troli. Penuh belakang kereta sewa Micra dengan barang-barang yang dijoli.

Pulang ke rumah untuk mengemas beg. Memandangkan barang terlalu banyak, terpaksalah menambah jumlah berat bagasi bagi mengelakkan didenda di kaunter penerbangan nanti.

14 Disember

Bertolak pulang ke Malaysia. Hati bercampur-baur. Sedih untuk meninggalkan percutian yang seronok, tapi gembira mahu bertemu orang tersayang.

Penerbangan Air Asia membawa pulang anak perantauan kembali bercuti. Tiba di KLIA2 jam 12 tengah hari. Pengalaman pertama di Lapangan Terbang baru. Benar kata orang, jarak antara terminal yang agak jauh. Mudah buat anak muda seperti kita, tapi tidak begitu buat mereka yang sudah berumur.

Kawan-kawan yang lain sudah boleh memeluk ibu dan bapa masing-masing memandangkan kebanyakkannya tinggal di sekitar Kuala Lumpur. Namun aku masih lagi perlu menantikan satu lagi penerbangan sebelum boleh bertemu yang tersayang.

Penerbangan Air Asia seterusnya akan membawa aku pulang ke Pulau Pinang. Di sana barulah aku akan bertemu keluarga yang dirindui.

Jam 4 petang, aku tiba di Lapangan Terbang Pulau Pinang. Alhamdulillah wajah yang ku cari setia menanti. 

Bagasi dimasukkan ke dalam kereta. Perjalanan 2 jam seterusnya dimulakan untuk pulang ke Alor Setar, rumah kediaman kami.

Banyak yang dipelajari sepanjang bermusafir ini. Paling berharga adalah pengalaman dan memori yang indah. Biarpun banyak Australian Dollar yang keluar daripada poket dan akaun bank, tapi segalanya dirasakan berbaloi.

Dengan ini, hanya tinggal 'Northern Territory' yang belum aku lawati. Inshaa Allah sebelum tamat pengajian akan ku tawan juga tempat ini.

p/s: gambar dan bingkisan ringkas bakal menyusul. Jika ada apa-apa pertanyaan bolehlah disuarakan. Mungkin hari ini saya berpeluang melawat negara orang. Mana tahu satu hari nanti anda pula yang mendapat peluang seperti ini.

#packyourbagandtravel #summerbreak #selfreward