Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Monday, 29 December 2014

PATI

Salam,

Sekembalinya di negara sendiri memang pelbagai perubahan baru disaksikan. Ada perubahan yang mengukir senyuman di bibir tanda puas hati dengan pembangunan negara, dan ada juga perubahan yang mengundang kerut di dahi. Namun begitu, seperkara yang menarik perhatian adalah peningkatan warga asing di negara kita. Bukan sebagai pelancong. Tapi sebagai mastautin tetap negara ini.

Sejujurnya, aku tiada masalah dengan imigran mahupun emigran. Disebabkan status aku juga pendatang di negara orang. Hal ini sangatlah positif kepada negara dari segi pertukaran budaya dan peningkatan ekonomi.

Walau bagaimanapun, aku sangat menyarankan kerajaan dan pihak berkuasa mengehadkan atau mengetatkan syarat-syarat kepada imigran ini. Disebabkan makin hari, makin bertambah bilangan mereka baik yang halal mahupun yang haram. Sama ada tingkatkan kekerapan penguatkuasaan atau cegah dari peringkat awal, itu aku tak pasti yang mana mekanisme terbaik. Tapi saban hari memang menampakkan semakin serius pertambahan yang berlaku.

Dan ini pula pesanan ikhlas kepada semua imigran. Memang kita sebagai imigran ada hak di negara orang. Kerana datangnya kita ke negara orang itu pastinya ada tujuan (belajar atau bekerja). Dan sudah semestinya sesebuah negara itu dipilih disebabkan kestabilan dan kepakaran yang ada berbanding negara kita sendiri (dalam konteks ini Malaysia). Benar, kita boleh perjuangkan hak kita sebagai imigran yang menyumbangkan bahagian dalam tukaran mata wang dan peningkatan ekonomi. Namun begitu, hak itu tidak langsung memadamkan hakikat bahawa itu negara orang dan tidak sekali-kali pernah menjadi negara kita sendiri (lain kesnya bagi 'permanent resident'). Maka kita juga perlu menghormati hak rakyat asal negara tersebut. Kerana ini negara mereka dan hak mereka jauh lebih luas berbanding hak kita. Jaga perilaku dan adab di negara orang. Berbuat baiklah pada rakyat negara tersebut. Anda pasti akan dihormati. Jangan sesekali melayan negara ini seperti negara asal anda, kerana norma dan peraturan hidupnya mungkin berbeza.

Nukilan ini hasil daripada pemerhatian penulis sendiri di sebuah pasaraya membeli belah yang telah 'ditawan' oleh rakyat asing. Dengan adegan mengurat anak dara melayunya, dengan kurang hormat pada warga asal negara ini dan layanan seperti mereka pula pemilik negara ini memang benar-benar menimbulkan rasa kurang senang. Namun begitu, penulis sedar yang kejadian yang berlaku tidak mewakili keseluruhan warga asing kerana ada juga warga asing yang tinggi adab dan budi bahasanya.

Sekian,
sekadar nukilan luahan rasa.

No comments:

Post a Comment