Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Saturday, 14 March 2015

Kasih Ayah Jangan Dilupa...

Salam,

Lembaran 2015 dimulakan seperti biasa dengan aktiviti bersarapan bersama-sama oleh komuniti Newcastle. Pengelola program siapa lagi kalau bukan ahli rumah aku. Kami suka mengelola aktiviti seperti ini semata-mata mahu melihat keakraban terjalin antara ahli keluarga di sini dengan pelajar-pelajar yang ada. Kali ini aku memilih untuk melakukan tugasan yang lebih mudah memandangkan aku sendiri tidak punya banyak masa.

Persiapan tempat telah dimulakan seawal jam 9 pagi. Tepat jam 9:45 pagi kami mula menjamu selera. Menu ringkas sesuai dengan tema sarapan. Sebaik sahaja selesai mengambil makanan, aku duduk bersembang dengan 'abang-abang' yang hadir(golongan yang sudah berkeluarga). Topik perbincangan berkisar kepada keadaan semasa di Malaysia, bertanyakan khabar masing-masing dan apa sahaja topik santai yang boleh kami bicarakan beserta gelak tawa. Anak-anak kecil pula aku lihat sedang riang bermain bola dan berlari-lari tanpa arah tuju.

Aku sudah pada pusingan kedua, kali ini aku memilih untuk duduk bersembang dengan seorang abang yang sudah tiga tahun aku kenal. Datangnya di sini untuk menyambung pelajaran(PhD) dalam bidang kejuruteraan elektrikal(kalau aku tak salah). Datang bersama anak-anak dan isteri ke bumi Newcastle. Mereka boleh dikategorikan sebagai orang lama di sini. Asyik benar kami bersembang sehinggakan aku sedar pinggan abang tersebut yang tadinya penuh sudah tinggal bahagian akhir suapannya.

Tiba-tiba datang salah seorang anak perempuan abang tersebut, berlari laju dan menangkap badan ayahnya. Seperti biasa aku menegur bersahaja bertanyakan adik tersebut sudah makan atau belum. Balas adik tersebut, dia mahukan sepotong kek. Lantas si ayah memberikan satu-satunya kek yang ada didalam pinggan beliau. Aku kagum dengan perbuatan abang tersebut. Sedangkan baru tadi aku nampak dia ingin menyuap kek tersebut ke dalam mulutnya. Tapi, kehendak anak itu lebih diutamakan daripada rungutan perut diri sendiri. 

Betapa kasih ayah itu juga tidak pernah berbelah bagi(bukan kasih ibu sahaja). Mungkin si ayah tidak berasa begitu lapar kerana telah kenyang menjamah hidangan lain sebelum mengambil kek tersebut. Walau apa sekalipun situasinya, aku tetap kagum dan hormati sikap seorang ayah seperti ini. Tanpa berfikir panjang beliau sudah memenuhi hasrat di hati si anak. Aku yakin ramai lagi insan di luar sana yang bergelar ayah seperti ini. Sanggup melupakan hasrat di hati kerana ingin melihat anak gembira tatkala keinginan mereka ditunaikan.

Marilah sama-sama kita hargai ayah kita. Mungkin beliau bukan secara langsung menanggung kesakitan melahirkan kita seperti seorang ibu, namun jasa dan bakti mereka juga besar dan tak harus kita abaikan.

Kepada ayah saya, terima kasih ayah. Adik tahu situasi ini pernah berlaku dalam tempoh 24 tahun adik hidup, malah ada situasi serupa yang adik masih ingat sampai sekarang. Terima kasih!

#pengalamansendiri #truestory

No comments:

Post a Comment