Hauzan Muttaqin

Hauzan Muttaqin

Sunday, 31 January 2016

Bersediakah kita?

Salam,
Tahun ini saya terpaksa berpisah dengan sahabat seperjuangan. Here in Newcastle, there are more than three clinical schools to choose from. Different school offers different teaching style and obviously different environment. Initially, we planned to be placed in the same school but Allah certainly has something else planned for us. Maka dengan itu, kami terpaksa berpisah dan saya terpaksa mencari ahli rumah yang baru bagi menggantikan rakan-rakan saya yang berpindah ke tempat lain.
Untuk pengetahuan semua, kadar sewaan rumah di sini amatlah mencanak tingginya. Kadar sewaan dikira secara mingguan. Untuk rumah 3 bilik dan 2 bilik air boleh menjangkau harga $385-$400 seminggu. Rumah 'not furnished' dan tidak termasuk bil penggunaan(air, elektrik dan caj-caj lain). Oleh itu, cara terbaik untuk menjimatkan wang adalah dengan berkongsi rumah dengan ramai orang. Sebelum ini kami tinggal berempat dan kadang-kadang berlima. Memang jimat. Tapi kena ada tolak ansur yang tinggi. Ada yang akan bermukim di ruang tamu dan ada yang tidak akan mempunyai bilik sendiri. Itu atas toleransi masing-masing. Secara kasarnya, saya membelanjakan 57% elaun yang diberikan untuk sewa rumah, bil penggunaan dan tabung rumah(untuk kelengkapan dapur dan lain-lain). Walau bagaimanapun, saya masih bersyukur kerana diberikan wang elaun untuk hidup di sini. Biarpun perlu berjimat cermat mengikat perut, tapi tak perlu gusar tentang kewangan kerana setiap bulan memang wang akan diberikan( terima kasih MARA dan terima kasih kerajaan Malaysia ).

Berbalik semula kepada hal tadi. Alhamdulillah, Allah ketemukan saya dengan seorang pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan PhD dalam bidang kejuruteraan elektrik, Mr. I. Sebenarnya saya sudah lama mengenali beliau, cuma sebelum ini beliau tinggal bersama dengan keluarganya di sini. Namun begitu, disebabkan tahun ini beliau bakal menamatkan PhD beliau, maka keluarganya pulang terlebih dahulu dan beliau akan menyusul kemudian sebaik sahaja selesai menghantar kerja-kerja PhD beliau. Beliau datang menawarkan diri untuk menjadi ahli rumah kami. Jadi, sekarang kami bertiga. Saya, kawan saya dan Mr.I. Maka kamipun duduklah bersama dengan gembiranya. Seorang dapat satu bilik. Bayaran sewa tak perlulah diceritakan. Boleh fikir sendiri berdasarkan penerangan saya sebentar tadi. =)

Apa yang ingin saya sampaikan di sini adalah betapa berbezanya kehidupan seorang individu yang sudah berumah tangga berbanding yang belum berumah tangga biarpun kedua-duanya memegang status sebagai seorang pelajar. Saya amat kagum dengan cara beliau membawa dan menguruskan diri beliau. Saya berikan beberapa situasi supaya kita mudah untuk memahami.

1) Beliau sangat teratur.
Ini perkara yang paling jelas sekali saya lihat. Sebelum ini saya tinggal bersama dengan rakan-rakan yang sebaya. Memang rumah bujang tak payah cakap lah. Saya kategorikan rumah saya sebagai masih elok. Kemas, bersih cuma jarang sekali teratur. Mungkin sebab masing-masing tiada masa untuk memikirkan hal rumah(alasan...hehe)
Situasi ini jelas sekali berubah dengan kehadiran Mr. I. Rumah kami kemas, dapur sentiasa bersih, kasut tersusun rapi, sampah sentiasa dibuang, kain lapik kaki sentiasa ditukar dan dibasuh, tandas rumah sentiasa bersih dan barang-barang sentiasa tersusun. Jangan terkejut kalau saya katakan Mr. I merupakan individu yang memastikan semua yang di atas ini berlaku. 
Kalau dulu, kami banyak menjaga bilik dan ruang masing- masing lebih daripada memberi perhatian kepada 'common areas'. Pada kami, kalau kemas pun, nanti akan ada individu yang datang dan semakkan semula( tapi jangan sangka buruk pula. rumah kami masih terbaik bagi kategori rumah bujang lelaki. Kalau tak percaya boleh tanya orang-orang Newcastle. =) )

Pengajaran:
1) Saya rasa apabila kita mula memasuki alam keluarga, banyak perkara yang kita kena rajinkan diri untuk laksanakan. Pertama, sebab kita akan jadi contoh pada anak-anak. Kedua, sebab kita ada tanggungjawab untuk pastikan rumah tangga kita selesa dan selamat.
2) Mungkin disebabkan Mr. I telah beberapa tahun bergelumang dalam aktiviti membantu isteri menguruskan rumah tangga, maka beliau tidak rasa kekok meneruskan aktiviti yang sama biarpun tidak lagi duduk bersama keluarga.

2) Beliau sangat disiplin dan sangat menjaga waktu.
Saya kagum apabila melihat pengurusan masa beliau. Terbaik! Beliau seolah-olah ada jadual waktu melekat dalam kepala beliau biarpun tiada kelihatan jadual waktu melekat di dinding bilik beliau. Beliau tahu pada waktu sekian, apa yang patut dilakukan dan selepas itu apa pula yang perlu dilaksanakan. 'Time management' beliau tersangatlah memberangsangkan. Bukan sahaja hal keduniaan, malah hal-hal akhirat juga beliau sudah mempunyai 'habit' tersendiri. Solat sentiasa awal waktu. Tatkala kedengaran azan daripada 'software' komputer/telefon bimbit, anda akan nampak kelibat beliau berjalan menuju bilik air. Selepas solat, beliau akan luangkan masa menelaah dan membaca Al-Quran. Setelah selesai semua, beliau akan setia dihadapan komputer ribanya untuk menghabiskan 'thesis' dan 'paperwork' beliau.

Pengajaran:
1) Melihatkan kewibaan beliau menguruskan diri, tidak hairanlah beliau sampai ke tahap PhD. 
2) Sebagai seorang ayah, saya yakin beliau perlu sentiasa menguruskan waktu dengan baik. Sebab masa beliau bukan lagi hanya untuk diri beliau, malahan perlu diagihkan dengan baik untuk anak-anak dan keluarga.
3) Kawalan diri itu amat penting jika kita mahu berjaya dalam apa jua kerja buat kita.

3) Beliau seorang yang prihatin
Setiap kali beliau menyediakan makanan untuk diri beliau, tidak pernah beliau lupa untuk menawarkan atau mengajak ahli rumah yang lain untuk menjamah makanan bersama-sama. Walaupun sedikit makanan yang ada, beliau akan tetap berbuat demikian. Berbeza dengan kita sebagai pelajar bujang. Acap kali kita kisahkan perut kita terlebih dahulu tanpa menghiraukan sahabat kita. Dah makan ke, ada makanan ke, semua itu tak penting bagi kita asalkan perut kita dipenuhi. Kalau ada lebihan makanan, baru kita tawarkan pada sahabat kita.(Tak semua pelajar bersifat demikian, tapi ada sesetengah yang begitu. Rakan-rakan saya yang sebelum ini menjadi ahli rumah ini juga tidak bersifat demikian, alhamdulillah) 

Pengajaran:
1) Sekali lagi kita lihat bagaimana alam keluarga itu mendidik beliau untuk bersifat lebih 'considerate' (prihatin) dengan orang lain.
2) Islam juga mengajar kita untuk sentiasa ambil tahu hal jiran tetangga dan sahabat.

Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur diberi peluang untuk tinggal bersama dengan individu yang mantap biarpun baru sebulan. Memang banyak perkara yang saya belajar sebagai persediaan menempuh alam baru tidak lama lagi. Sebagai anak muda, memang naluri untuk melangkah ke alam seterusnya itu sentiasa berkobar-kobar, tapi mungkin inilah yang ingin ibu bapa saya terapkan sebelum mereka yakin saya benar-benar bersedia menempuh alam tersebut. Apapun, perubahan dan persediaan itu perlu dilakukan awal yakni sebelum kita masuk ke alam tersebut. In syaa Allah, saya akan sentiasa memperbaiki diri saya ke arah yang lebih baik sebelum saya menempuh alam yang baru tidak lama lagi.

Terima kasih kepada Mr. I untuk pengajaran hidup yang tidak ternilai harganya.

Segala yang saya nukilkan ini adalah pendapat dan pengalaman saya sendiri. Tiada kena-mengena dengan mana-mana individu dan tidak mewakili pendapat mana-mana pihak. Situasi hidup kita berbeza, maka ada yang saya sampaikan ini mungkin benar dan mungkin juga kurang tepat.
Nukilan ini juga tidak berniat untuk memburukkan ahli rumah saya. Mereka adalah individu mantap dari segenap aspek. Tetapi kehadiran Mr.I ternyata lebih memberi gambaran tentang kehidupan akan datang dan perkara inilah yang ingin saya kongsikan bersama. Mohon tidak tersalah faham. =)
p/s: Dua ahli rumah saya yang berpindah masih lagi 'single'. Kalau nak tahu 'insight' mengenai mereka boleh hubungi saya. Dua-dua modal insan terbaik abad ini. =)

#mara #newcastle #countingdays  

No comments:

Post a Comment